Pernah Hina Nabi Muhammad! Saat Hidayah Allah Hadir, Dua Individu Terkenal Ini Akhirnya Peluk Islam

Share

Kala ini dunia membuat protes terhadap kenyataan dikeluarkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mendakwa Islam adalah punca kepada semua krisis yang berlaku di dunia ketika ini.

Ia rentetan dari kejadian seorang guru dipenggal kepalanya kerana melukis gambar karikatur Nabi Muhammad SAW yang mendapat perhatian meluas dunia. Masa yang sama, insiden penyerangan dua gadis yang bersiar-siar di bandaraya itu oleh golongan Islamfobia menyemarakkan lagi insiden ini.

Ekoran kenyataan dibuat oleh Emmanual Macron itu susulan dari tragedi itu, boleh dikatakan beberapa buah negara mengadakan protes jalanan terutama Bangladesh. Bukan saja Bangladesh, tetapi Palestin, Pakistan serta Malaysia ada membuat membantah di atas kenyataan tersebut serta beberapa buah negara lain mengambil pendekatan yang sama. Protes boikot barangan dari negara itu juga sedang giat di media sosial dan kempen itu begitu agresif dijalankan.




Di sebalik isu menghina agama Islam dan melukis karikatur Nabi Muhammad SAW, untuk makluman semua, ia bukan pertama kali terjadi namun setiap kali nama Nabi Muhammad SAW dipermainkan, umatnya masa kini akan bangkit mempertahankan baginda tidak mengira apa situasi sekali pun.

Mungkin korang masih ingat pada kisah Salman Rushdie, penulis buku Satanic Verses yang cukup kontroversi selepas dia menghina Rasulullah. Pemimpin Iran ketika itu, Ayatollah Khomeini mengatakan darah Salman halal untuk dibunuh selepas individu itu menghina junjungan Nabi Muhammad SAW.


Tidak hanya Salman Rushdie, sebenarnya kisah individu menghina islam ini telah lama berlaku tetapi ada antara mereka akhirnya mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam.

Ini kisah dua individu yang menghina Islam tapi akhirnya memeluk Islam.

Siapkan buku tapi akhirnya temui jawapan mengenai Islam

Seorang bekas ahli Parlimen Belanda, Joram Van Klaveren yang melancarkan kempen anti Islam di Dewan Parlimen akhirnya membuat pengakuan mengejutkan di mana dirinya memutuskan untuk mengucap dua kalimah syahadah dan menerima Islam sebagai agama sewaktu dirinya dalam proses menyiapkan sebuah buku untuk memburukkan Islam dan membuktikan ajaran itu salah tahun lalu.

Di sebalik menulis perkara buruk tentang Islam dan membuat banyak perbandingan untuk melengkapkan bukunya, Joram mengakui semakin banyak persoalan terhadap agama Islam yang dibencinya terjawap.

"Mengakui kesalahan diri sendiri bukan perkara menyeronokkan. Tetapi dalam proses mencari Tuhan sebelum ini, saya selalu rasa tidak tenang. Rasa itu akhirnya hilang selepas saya mengenali Islam, " kata Klaveren seperti yang dipetik dari portal The Guardian

.


Klaveren yang memeluk Islam pada 26 Oktober tahun lalu, pernah menyifatkan Islam sebagai wabak penyakit, selain pernah mencadangkan agar pemakaian burqa diharamkan dan masjid dirobohkan.

Klaveren mengakui manuskrip buku anti-Islam yang awalnya dirancang untuk ditulis telah dibuang dan akan digantikan dengan buku yang akan memberi penerangan tentang apa sahaja keraguan masyarakat Barat terhadap agama Islam.

"Saya sangat menyesal menjadi penyumbang dalam memberi gambaran yang tidak benar tentang Islam," tambahnya yang membesar dalam sebuah keluarga Protestan.

Buat filem berjudul Fitna yang cukup kontroversi

Seorang penerbit yang pernah menghasilkan sebuah filem menghina baginda Rasulullah saw akhirnya menerima hidayah daripada Allah.

Arnoud Van Doorn yang pernah menjadi seorang Ahli Dewan Undangan di Belanda pada tahun 2013 menghasilkan filem pendek berjudul ‘Fitna’.




Filem ini mengisahkan mengenai isu Islamophobia dan memburukkan keperibadian Nabi Muhammad SAW dan telah menimbulkan kontroversi pada umat Islam. Di saat dia memburukkan Nabi Muhammad SAW, hidayah datang kepadanya dan dia mula mempelajari al-Quran dan agama Islam hingga ‘jatuh cinta’ kepada agama ini.
Lebih indah, dirinya dijemput menjadi tetamu Allah dan mengerjakan haji.

Lihat, inilah indahnya Islam. Hanya mereka yang menerima hidayahnya saja akan tahu betapa indahnya agama ini. Yang pasti esok kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW. Sentiasalah berselawat ke atas baginda, insya Allah, Allah jamin syurga.

Published by
Almaswa Haji Che Ros