Pernah Kena Reject Dalam Ujibakat Realiti TV, Hael Husaini Bukti Juara Sebenar

Share

Tahniah kami ucapkan kepada Hael Husaini dan Ezra Kong kerana masih mengekalkan kejuaraan di Anugerah Juara Lagu selama dua tahun berturut-turut.

Tahun lepas menyaksikan lagu Jampi mendapat tempat di hati juri dan terbukti gandingan dua pemuda ini mempunyai chemistry yang sangat baik. Bukan saja mampu mencuri hati peminat, malah tidak juga disangkal oleh para juri.

Anugerah Juara Lagu 33 sekali lagi menempatkan penyanyi Hael Husaini sebagai Juara dan kali ini digandingkan bersama Dayang Nurfaizah dalam lagu Haram.

Kemenangan ini diterima baik oleh penonton kerana sememangnya lagu ini layak bergelar juara. Bakat dan kebolehan Hael Husaini sendiri memang tidak boleh dinafikan kerana bukan saja lagunya sendiri, malah anak muda ini juga banyak menyumbangkan hasil karyanya kepada penyanyi lain, antaranya Nabila Razali dan Aisyah Aziz.

Apa yang menarik perhatian kami, seorang pengguna Twitter, Khairul Izuddin pagi ini telah berkongsi satu video lama di mana ketika itu Hael melalui satu sesi ujibakat bagi satu program realiti TV tapi dia telah di reject dan dihentam oleh juri.

Lebih menarik lagi, pada ketika itu salah seorang juri yang menghakimi nyanyinya adalah Dato’ Syafinaz, yang juga bersama-sama beraksi di atas pentas dalam persembahan lagu Hajat malam semalam.

Ternyata sikap tidak putus asa Hael Husaini perlu diberi pujian kerana untuk dia mencapai tahap hari ini, sudah pasti tidak mudah dan banyak yang harus dilaluinya.

Daripada bergerak solo, kemudian berdua, dan kini menjadi penyanyi solo semula, barulah bakat Hael betul-betul dilihat dalam industri.

Apa-apa pun kami mengucapkan tahniah buat Hael Husaini atas kemenangan ini dan kerana tiga lagu ciptaannya juga turut tercalon dalam Anugerah Juara Lagu 33.

Semoga Hael terus menghasilkan karya yang baik serta mampu mengharumkan industri muzik tanah air.

Published by
Noor Ain Norman