Sejak di usia kanak-kanak lagi, ibu bapa kita sudah menerapkan tabiat membaca bagi mempupuk minat terhadap buku. Amalan membaca mampu memberikan pengetahuan yang luas dan menjadikan seseorang itu lebih berilmu.
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) antara pusat utama yang dijadikan rujukan buat masyarakat bagi mencari bahan bacaan yang bermanfaat sejak dari dulu lagi. Namun, dengan peredaran zaman teknologi digital hari ini, ramai yang memilih untuk membaca secara digital dan tidak menggunakan buku fizikal.
Nah, korang jangan ingat PNM semuanya buku fizikal ya. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Perpustakaan Negara juga terlibat dalam projek penerbitan buku audio.
Menurut laman Facebook rasmi PNM, projek buku audio ini telah dimulakan sejak tahun 1996 dan sehingga kini, PNM telah berjaya menerbitkan sebanyak 72 judul dengan penglibatan secara sukarela oleh rakyat Malaysia yang berbakat dalam menyumbangkan suara mereka dalam projek ini.
Ini merupakan projek berterusan PNM dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).
Mengapa perlu bayar sedangkan ada yang percuma? Betul tak?
Sebanyak 4,476 e-buku pelbagai bidang perkara disediakan oleh PNM, 140 judul buku audio dan 98 judul buku audio (read along) turut tersedia. Semuanya disediakan secara percuma. Korang boleh akses di pangkalan data Overdrive dan lawati laman web www.u-pustaka.gov.my
Manfaatkan faedah yang diberikan secara percuma ini dan korang tidak perlu lagi mengeluarkan wang untuk mengakses e-book atau buku audio selepas ini.
Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia