Persembahan Teater Luar Biasa ‘Ola Bola The Musical’ Gabung Elemen Bola Sepak, Hip Hop Dan Visual Efek

Share

Pada tahun 2016 yang lalu, negara kita telah dilanda taufan sebuah filem bolasepak yang cukup luar biasa. Tidak pernah lagi dalam sejarah perfileman negara menyaksikan sebuah karya berlatar belakangkan sukan mampu meraih kutipan blockbuster sehingga mencecah RM15.85 juta!

Formula yang diketengahkan menerusi sukan, penyatuan pelbagai bangsa, harapan dan patriotisme telah menjadikan Ola Bola sebagai sebuah filem yang cukup berbeza berbanding filem bertemakan sukan yang pernah diperkenalkan di negara kita.

Menyaksikan kejayaan itu, Ola Bola kini telah diadaptasikan pula ke dalam bentuk sebuah pementasan teater berjudul Ola Bola The Musical (OBTM). Dan semalam, Remaja telah berbesar hati memenuhi jemputan untuk menyaksikan pementasan pertama mereka yag berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Berita tentang projek pementasan teater muzikal istimewa ini telah diuar-uarkan sejak pada tahun lalu lagi dan ramai sebenarnya menantikan apakah yang boleh ditonjolkan oleh pengarah dan penerbitnya yang tidak asing lagi iaitu Tiara Jacquelina.

 

Coach Harry Mountain (Stephen Rahman-Hughes) dikerumi pemain Harimau Malaya

 

Penggunaan visual efek yang banyak membantu penceritaan Ola Bola The Musical

 

OBTM diterbitkan oleh nama besar dalam industri Malaysia, Enfiniti dan ia akan mula dibuka untuk orang awam bermula pada hari ini 8 Februari sehingga 11 Mac 2018. Antara barisan pelakon yang membarisi pementasan teater ini ialah Iedil Putra sebagai Rahman, Stephen Rahman-Hughes (Coach Harry Mountain), Altimet (Sarjan Ahmad), Brian Chan (Tauke), Abimanyu Masilamani (Muthu) dan ramai lagi. Dua pelakon utama dari filem yang melakonkan watak sama iaitu Luqman Hafidz (Ali) dan Lim Jian Wen (Ah Chai).

 

 

Bertindak selaku pengarah, penerbit dan orang kuat Enfiniti, Tiara Jacquelina berkata, “saya berjaya mengumpulkan bakat-bakat kreatif yang hebat dari seluruh negara untuk menjayakan idea OBTM bermula dari penulisan skrip hinggalah ke rekaan pentas. Usaha keras kami selama setahun menyiapkan diri untuk projek inipasti dapat memberi inspirasi kepada penonton”.

Ternyata sentuhan berbisa daripada ikon seni tanah air kali ini sangat luar biasa. Mungkin ramai tertanya-tanya apakah perbezaan utama antara filem dan versi teater?

Pertama sekali, obviously ia sebuah naskhah teater muzikal. Dan berbeza dengan teater yang lain, OBTM mengetengahkan muzik rap dan hip hop. Di bawah arahan muzik daripada gitaris band terkenal Seven Collared T-Shirt, Duan. penyanyi dan penulis lirik, Mia Palencia dan Altimet, rapper

tersohor menjadikan muzik OBTM penuh transisi melodi yang relevan dengan masa kini.

Dan satu perkara yang menarik lagi, OBTM turut menampilkan teknologi visual efek dengan penggunaan skrin gergasi yang dipancarkan pelbagai video menarik dengan teknik mapping, visual animasi, pengcahayaan pentas dan grafik ala-komik yang cukup unik.

Secara keseluruhannya jalan cerita OBTM tidak jauh berbeza dengan versi filemnya. Apa yang pasti Remaja cukup terhibur sepanjang pementasan yang berlangsung hampir 3 jam ini. Semarakkan jiwa patriotik sambil berhibur dengan Ola Bola The Musical!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim