Persiapan Mental Harus Kuat, Mierul Aiman Sedia Beraksi Di Pentas Final

Share

Debaran minggu finale Hero Remaja 2021 semakin dirasai. Tinggal satu hari sahaja lagi sebelum empat finalis beraksi di pentas akhir. Bersaing ketika wabak pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak kekangan yang dilalui oleh barisan finalis Hero Remaja tahun ini.

Namun, ia bukanlah satu alasan untuk mematahkan semangat mereka bagi terus berjuang menyelasaikan tugasan yang diberi setiap minggu.

Kini, tinggal lagi sehari sebelum kita ketahui siapa yang bakal bergelar Hero Remaja 2021.

Bagaimana agaknya perasaan finalis terakhir Mierul Aiman dalam membuat persediaan menjelang finale? Jom kita selami perasaan dan harapan Mierul untuk persembahan akhir malam esok.

“Persiapan saya untuk finale ini yang penting sekali adalah saya perlu siapkan diri saya daripada segi mental untuk berhadapan dengan ribuan penonton pada malam itu. Saya kena percaya pada diri sendiri dan bagaimana cara untuk berjuang dalam pentas akhir Hero Remaja 2021,”

“Saya dah lalui sebanyak tujuh episod bersama rakan-rakan yang lain, dan pada malam finale nanti insyaAllah saya akan lakukan yang terbaik buat semua penyokong yang telah menyokong saya selama ini. Persiapan yang lain pula, saya perlu mencari kreativiti untuk membuat kelainan kerana kekuatan setiap peserta adalah daripada kelainan yang mereka tampilkan,”

“Tapi apa-apa pun, pada malam itu nanti Mierul hanya nak have fun and enjoy the moment, adat pertandingan ada yang menang, ada yang kalah. Paling penting, Mierul dapat menjadi seorang penghibur pada malam itu,” ujar Mierul.

Sudah melangkah ke pentas akhir, pastinya setiap finalis mengimpikan gelaran Juara bagi melengkapkan misi mereka dalam Pencarian Hero Remaja 2021. Begitu juga dengan peserta 24 tahun ini, bergelar seorang Juara adalah misi utamanya ketika daripada awal lagi dipilih sebagai finalis.

“Harapan Mierul sejujurnya ingin menjadi Juara pada malam itu dan ingin berseronok menjadi penghibur untuk menghiburkan penonton. Dan terakhir sekali, saya ingin membuatkan ibu bapa saya bangga kerana jika bukan sokongan daripada mereka, saya tidak akan pergi sejauh ini,” tambahnya lagi.

Jangan lupa untuk terus mengundi Hero Favourite anda di www.remaja.my/hero dari sekarang hingga malam finale pada 6 November 2021. Satu undi bagi setiap hero pada setiap hari! Klik saja pada profil mereka dan tekan butang ‘VOTE’.

Published by
Noor Ain Norman