Kedengaran mengejutkan tetapi inilah realiti yang berlaku di Maryland, Amerika Syarikat.
Pakar pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Maryland telah berjaya melakukan pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik kepada manusia minggu lalu.
Ini merupakan prosedur pertama seumpamanya. Pesakit yang menerima jantung haiwan berkenaan adalah penduduk Mayland yang berusia 57 tahun, David Bennet.
Sebelum itu David telah disahkan menghidap penyakit jantung yang boleh membawa maut. Menurut pasukan perubatan yang memantau keadaan lelaki itu, David tiada pilihan lain melainkan menerima prosedur tersebut kerana tubuhnya tidak mampu menerima proses pemindahan jantung yang kebiasaan dilakukan.
“Ia sama ada mati atau melakukan pemindahan ini. Saya mahu hidup. Saya tahu keputusan ini merupakan satu keputusan yang tidak pasti, tetapi ini adalah pilihan terakhir saya. Saya tidak sabar untuk bangun dari katil selepas saya pulih,” ujar Bennett dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Pusat Perubatan Universiti Maryland.
Jadi bagaimana prosedur ini dilakukan?
Menurut penyelidik, prosedur itu memerlukan 10 suntingan gen unik pada jantung babi bagi mengelakkan penolakan organ itu sebaik sahaja dipindahkan ke dalam tubuh manusia.
Suntingan ini termasuk memadamkan empat gen haiwan yang bertanggungjawab untuk penolakan pengantaraan antibodi terhadap organ babi oleh manusia dan kemudianya memasukkan enam gen manusia ke dalam jujukan genom untuk penerimaan imun.
“Ini adalah pembedahan penting dan membawa kita selangkah lebih dekat untuk menyelesaikan krisis kekurangan organ. Jumlah penderma jantung tidak mencukupi untuk memenuhi senarai panjang mereka yang berada dalam senarai penerima berpotensi,” ujar Dr Bartley P. Griffith, yang memindahkan jantung babi ke dalam pesakit melalui pembedahan.
Seorang lagi doktor pakar yang terlibat yang merupakaan salah seorang pakar terkemuka dunia dalam pemindahan organ haiwan, iaitu Dr.Muhammad M Mohiuddin mengucap rasa gembira dan syukur atas kejayaan tersebut. Katanya, “Prosedur ini merupakan prosedur yang berjaya memberikan maklumat berharga untuk membantu komuniti perubatan memperbaiki kaedah yang berpotensi menyelamatkan nyawa bagi pesakit pada masa hadapan.”
Kejayaan pasukan Pusat Perubatan Universiti Maryland ini menjadi satu cara baru untuk membantu penderita penyakit jantung di seluruh dunia.
Untuk rekod, pembedahan ini turut diluluskan secara kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto & sumber: Pusat Perubatan Universiti Maryland