Tangisan yang mengalir pada pipi peserta The Hardest Singing Show, Aisha Retno sewaktu konsert minggu suku akhir malam tadi tidak dibuat-buat setelah diumumkan sebagai peserta dengan kutipan markah tercorot daripada enam peserta.
Aisha, 23 yang membawakan lagu Run The World nyanyian asal Beyonce sekadar memperolehi 63.78 peratus berbanding peserta yang menduduki tangga kelima, Zizi Kirana dengan 67.33 peratus. Aisha sekaligus diumumkan sebagai peserta tercorot pada minggu ini sebelum pengacaranya, Nabil Ahmad dan Rina Nose memberitahu tiada penyingkiran berlaku pada minggu suku akhir berkenaan.
Aisha ketika ditemui REMAJA selepas program berakhir tidak dapat menahan sebaknya apabila terpaksa menerima keputusan juri yang meletakkannya di kedudukan tercorot. Bukan ingin mendabik dada sudah memberikan persembahan terbaik, namun Aisha lebih takut jika dia telah mengecewakan ibunya sendiri.
“Saya akur persembahan saya bukanlah yang terbaik pada minggu ini. Jika saya betul-betul terkeluar pun pada minggu ini, saya anggap ia sebagai pengajaran terbaik untuk karier muzik saya kerana kata-kata juri itu ’emas’ bagi saya.
“Yang buat saya paling sedih malam ini, (saya) takut sudah kecewakan mama saya. Sebenarnya ini adalah kali pertama saya merasa berada di kedudukan bottom 2 di mana-mana pertandingan. Perasaannya… memang tidak best apabila diumumkan tersingkir,” katanya dalam nada sebak.
Tambah Aisha lagi, dia tidak terasa hati dengan komen juri jemputan, Ajai yang berpendapat sudah tiba masanya untuk Aisha sedar dirinya perlu keluar daripada pemikiran sebagai peserta Big Stage yang sekadar memperlukannya untuk menyanyikan semula lagu penyanyi lain.
“Saya kini dikenali sebagai Aisha Retno yang mempunyai trademark tersendiri. Itu mungkin apa yang juri ingin lihat. InsyaAllah untuk minggu hadapan, saya akan cuba ketengahkan lagi originaliti sebenar saya sebagai penyanyi dan tidak terikut-ikut dengan cara nyanyian penyanyi asal.
“Saya sedar, hanya disebabkan saya terselamat lagi pada minggu ini tidak bermakna saya akan terselamat pada minggu hadapan. Apa yang saya boleh katakan, malam ini bukan malam saya,” ulasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: THSS: Aisha Retno Catat Markah Tertinggi Minggu Ke-6 Meski Mikrofon Tidak Berfungsi Lebih 20 Saat – REMAJA
Konsert The Hardest Singing Show minggu suku akhir malam tadi diungguli oleh Putera Muhammad (93.20 peratus) yang membawakan lagu Hilang Naluri nyanyian Once diikuti Ayda Jebat (85.69 peratus), Aepul Roza (81.48 peratus), Stacy (77.30 peratus), Zizi Kirana (67.33 peratus) dan Aisha Retno (63.78 peratus).
BACA LAGI: Kacukan Malaysia-Indonesia, Urut Muka Setiap Pagi Rahsia Kulit Cantik AISHA RETNO! – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.