Sepanjang hujung minggu lepas, masyarakat Kadazan-Dusun telahpun meraikan Pesta Kaamatan di seluruh negara.
Juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan, perayaan kali ini bagaimanapun lebih sederhana dan tidak diraikan seperti kebiasaan memandangkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun apa yang penting adalah semangat meraikannya.
Bercakap mengenai Pesta Kaamatan, penulis pantas teringat dengan salah seorang finalis Dewi Remaja 2019 yang juga berasal dari Sabah iaitu Sharlina Gilbert Mojinun.
Pada tahun-tahun sudah, Sharlin akan kembali semula ke kampungnya di Panampang Sabah untuk bersama-sama dengan ahli keluarganya pada waktu ini. Namun seperti anak Sabah lain yang menetap di Kuala Lumpur, Sharlin juga perlu akur dengan keadaan semasa.
*
Menurutnya, antara momen manis semasa menyambut Pesta Kaamatan adalah pengalaman Sharlin menyertai pertandingan ratu cantik bernama Unduk Ngadau.
“Di Sabah, ramai kanak-kanak dan remaja perempuan yang akan menyertai Unduk Ngadau apabila tiba saja perayaan Pesta Kaamatan.
Kali pertama saya menyertainya adalah semasa di darjah dua. Dan kali kedua adalah setelah saya bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
“Mereka menganjurkannya di sini dan saya memenanginya! Lalu, saya mewakili Lembah Klang untuk bertanding di Panampang pada peringkat daerah. Tak sangka pula saya menempah tempat keenam pada waktu itu,” jelas Sharlin yang berpakaian tradisional lengkap Sinuangga dengan stail ‘rambut gong’.
Penulis tertanya-tanya juga apakah makna di sebalik pertandingan ratu cantik ini?
Menurut Sharlin, Unduk Ngadau berasal daripada perkataan ‘runduk tadau’ yang bermaksud ‘gadis yang dimahkotakan dengan cahaya matahari’.
Ia bagi memperingati seorang gadis bernama Huminodun yang mempunyai hati baik dan selalu menolong orang lain. Selepas Sabah diuji dengan musim kemarau, Huminodun menawarkan diri untuk dikorbankan. Menurut cerita lagenda, gadis tersebut dipotong kepada beberapa bahagian badan dan ditaburkan ke tanaman di sana seperti padi dan pohon buah-buahan agar ia kembali subur.
Selepas tujuh hari, gadis bernama Unduk Ngadau muncul dan dipercayai merupakan jelmaan semangat Huminodun yang dikorbankan tadi.
Bercakap mengenai tradisi lain sewaktu Pesta Kaamatan, masyarakat Sabah akan menyediakan beberapa makanan tradisi seperti Hinava Pampanga (sejenis hidangan ikan), Gutod (ulat sagu) dan buah Bambangan (jeruk mangga).
“Walaupun saya tidak dapat pulang ke Sabah pada tahun ini, tapi saya tahu keluarga dan rakan di sana masih meraikannya seadanya dengan jamuan makan malam bersama keluarga. Saya rindukan untuk menari Sumazau dan Magunatip (tarian buluh).
“Tak apalah, selepas PKPB nanti tentunya saya akan pulang ke Sabah untuk bertemu keluarga di sana,” katanya sebelum memberi ucapan di bawah:
Kopivosian, Izou ii Sharlina Gilbert mantad Kota Kinabalu, Penampang, maganu do kosivatan diti do mamason Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan Toun 2020 kumaa diozu saviai tuhun!
(Hello, nama saya Sharlina Gilbert berasal Kota Kinabalu, Penampang, ingin mangambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kaamatan kepada semua!)