Pertempuran Penuh Aksi Sonic & Knuckles Rebut Kuasa Dalam Sonic The Hedgehog 2

Share

Berita baik buat peminat tegar animasi Sonic, selepas lebih kurang dua tahun siri ini sekali lagi bakal menemui semula peminat di layar perak. Sonic The Hedgehog 2 akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 21 April 2022.

Sonic kembali lagi bagi pengembaraan seterusnya. Selepas menetap di Green Hills, Sonic tidak sabar untuk membuktikan bahawa dia mempunyai kelebihan menjadi wira sejati. Dalam siri kali ini juga menyaksikan kehadiran Dr. Robotnik bersama sekutu baharunya, Knuckles untuk mencari zamrud yang mempunyai kuasa memusnahkan dunia. Sonic bekerjasama dengan Tails dan memulakan perjalanan mereka menjelajah dunia untuk mencari zamrud sebelum jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab.

Jika dalam filem sebelumnya kita berkenalan dengan watak Tom dan Sonic, kali ini penonton akan melihat konflik yang dialami Sonic sendiri. Bermula daripada saat ditinggalkan Tom dan Maddie sehinggalah perkenalan dengan karakter baru.

Durasinya yang tidak terlalu panjang juga membuatkan penceritaan tidak meleret dan mampu membuatkan penonton bertahan sehingga ke akhirnya tanpa ada rasa bosan. Watak villain yang dibawa oleh Jim Carey juga sangat memuaskan dan kali ini Dr Robotnik tampil lebih kejam penuh dengan aksi yang bakal membuatkan penonton ‘kepanasan’, lebih-lebih lagi melihat pertempuran antara Sonic dan Knuckles yang berada di pihak Eggman.

Sonic the Hedgehog 2 akan menyaksikan kepulangan sebilangan besar pelakon utama filem asal termasuklah Ben Schwartz sebagai suara Sonic, James Marsden sebagai Tom Wachowski, Tika Sumpter sebagai Maddie Wachowski dan Jim Carrey sebagai saingan Sonic, Doctor Robotnik/Eggman bersama Adam Pally dan Natasha Rothwell.

Published by
Noor Ain Norman