Pesakit Bukan COVID-19 Di Lembah Klang Akan Dipindahkan Ke Hospital Swasta Serta-Merta

Share

Saban hari Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 yang tinggi dan semalam, 11,985 lagi kes dengan 199 kematian dicatatkan.

Jumlah kes aktif mencapai 137,587 setakat semalam dan ini sudah cukup untuk menggambarkan bagaimana keadaan di hospital sekarang. Bukan hanya perlu merawat pesakit COVID-19, ia secara tidak langsung memberi kesan buat pesakit-pesakit lain juga ekoran ketiadaan tempat untuk dimasukkan ke dalam wad.

Foto: Utusan

Oleh yang demikian, menurut Malaysiakini, pesakit bukan COVID-19 di hospital kerajaan di Lembah Klang akan dipindahkan ke hospital swasta serta-merta bagi meningkatkan kapasiti sistem kesihatan awam untuk merawat pesakit wabak itu.

Menurut sepucuk surat kepada Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh, arahan kerajaan itu berkuat kuasa semalam.

Kos rawatan pesakit yang dipindahkan ini akan ditanggung kerajaan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Sebarang tuntutan bagi kos rawatan yang melebihi kadar yang ditetapkan dalam garis panduan akan dijelaskan selepas penilaian dan pertimbangan sewajarnya oleh Kementerian Kesihatan.

Foto: Malaysiakini

Berikut merupakan garis panduan penyumberluaran bagi pesakit bukan COVID-19 di hospital swasta, kadar siling yang ditetapkan:

• Katil: Wad berkadaran harian yang paling rendah
• Caj pesakit (untuk kes pembedahan): RM45,000
• Caj pesakit (tidak melibatkan pembedahan): RM25,000
• Caj rawatan susulan: RM5,000

Pihak hospital perlu memaklumkan kepada kementerian jika pesakit yang sudah keluar memerlukan rawatan susulan lebih daripada tiga kali. Ia bagaimanapun tidak termasuk rawatan radioterapi.

Hospital swasta juga tidak dibenarkan untuk memindahkan pesakit ke hospital swasta lain tanpa kebenaran kementerian.

Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan menyediakan lebih banyak ruang untuk pesakit COVID-19 di kemudahan mereka dan sama-samalah kita terus berdoa agar situasi pandemik ini berakhir dengan segera.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman