Sebuah syarikat penerbangan Iran mencatat sejarah apabila melaksanakan penerbangan khas hanya untuk golongan wanita sahaja.
Memetik laporan agensi berita rasmi IRNA, pesawat Aseman Airlines itu selamat mendarat buat kali pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Hasheminejad, Mashhad iaitu bandar kedua terbesar di Iran.
Begitupun, laporan tempatan tidak pula mendedahkan lokasi dari mana pesawat itu berlepas.
Pesawat yang diterajui oleh salah seorang juruterbang wanita terawal di Iran, Shahrzad Shams itu membawa 110 penumpang dan kru yang semuanya terdiri daripada wanita.
Disebabkan situasi unik ini, penerbangan itu digelar sebagai penerbangan Iran Banoo yang bermaksud penerbangan Wanita Iran.
Tambah istimewa, perjalanan ke Mashhad itu juga berselisih dengan tarikh kelahiran puteri Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah al-Zahra yang jatuh pada 20 Jamidilakhir bersamaan dengan 22 Disember 2024, Ahad lalu (waktu tempatan).
BACA: Kenapa Umat Islam Dilarang Melancong Ke Kota Al-Ula? – Remaja
Sekadar info, Iran menerusi industri penerbangan semakin terbuka untuk mengiktiraf golongan hawa. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia menyaksikan beberapa wanita berkebolehan dilantik menjadi juruterbang di sana walaupun ia masih jarang berlaku.
Paling diingati ialah juruterbang wanita, Neshat Jahandari dan pembantu juruterbangnya, Forouz Firouzi yang mencatat sejarah sebagai pasangan wanita pertama yang menerbangkan pesawat komersi dengan penumpang dalam sejarah negara Iran.
BACA: Cantik & Pantas Bertindak, Juruterbang Wanita Monica Khanna Selamatkan Nyawa 185 Penumpang – Remaja
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Elak Kena ‘Scam’ Sebelum Melancong! Pastikan Ejen Ada 5 Benda Ini Sebelum Membuat Tempahan
Isi Kandungan
ToggleTidak dinafikan, saban hari industri pelancongan semakin meriah dan menariknya pelbagai pilihan destinasi serta pakej ‘travel’ sekaligus tip untuk ke setiap destinasi pun lebih mudah ditemui di media sosial.
Walaupun begitu, di sebalik kemeriahan ini, ada juga segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan seperti satu kisah yang tular baru-baru ini, di mana seorang personaliti media sosial wanita dikatakan telah melakukan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan.
Kali ini, meh REMAJA kongsikan tip penting untuk korang pilih ejen pelancongan terbaik bagi memastikan mood travel korang tidak terganggu sebelum berangkat ke bucket list negara pilihan!
EJEN BERDAFTAR
Sebelum menempah sebarang pakej, pastikan ejen pelancongan anda telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Jika ejen anda tidak mempunyai lesen yang sah, ini adalah tanda amaran yang menunjukkan mereka mungkin tidak boleh dipercayai.
Melalui lesen yang sah ini juga, ia menunjukkan bahawa ejen itu sudah pun mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
REVIEW & TESTIMONY CHECK!
Salah satu cara nak nilai sama ada travel agent korang itu trusted atau tidak adalah melalui review and testimony daripada pelanggan sebelum ini. Zaman sekarang, memang senang sangat nak cari ulasan terdahulu, dari situ korang boleh pilih perkhidmatan yang mana satu paling terbaik dan berkualiti!
Jika kebanyakan pelanggan beri banyak ulasan negatif atau tiada ulasan sama sekali, kami cadangkan anda supaya lebih berhati-hati.
TAWARAN PAKEJ YANG REALISTIK
Zaman kini sebenarnya lebih mudah untuk dapatkan pakej pelancongan dengan harga yang murah tetapi ingat! Jangan mudah terpedaya dan sila baca butiran pakej dengan teliti. Kadang-kadang, ada ejen yang tawarkan harga murah, tetapi mungkin mereka tidak menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan atau ada kos tersembunyi.
Jadi, sebelum korang deal dengan ejen, pastikan buat perbandingan harga dengan ejen pelancongan yang lain terlebih dahulu.
KAEDAH PEMBAYARAN
Sebelum buat pembayaran deposit, pastikan kaedah pembayaran yang digunakan oleh ejen pelancongan pilihan itu selamat dan boleh dipercayai. Elakkan membuat pembayaran melalui cara yang tidak jelas atau menggunakan saluran yang sukar dijejaki seperti tunai atau pembayaran melalui platform yang tidak disahkan.
Pastikan anda menerima resit atau pengesahan rasmi untuk setiap transaksi yang dilakukan. Jangan lupa untuk bertanya fix date bagi tiket penerbangan, jadual perjalanan, butiran penginapan dan sebagainya kepada ejen pelancongan korang ya!
POLISI INSURANS & PEMBATALAN
Ejen pelancongan yang dipercayai dan profesional selalunya akan memberi anda maklumat yang jelas tentang polisi pembatalan, perubahan jadual, dan insurans perjalanan. Biasanya, mereka akan menyediakan butiran terperinci mengenai apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku pembatalan atau perubahan mendadak.
Pastikan ejen pelancongan tersebut menawarkan perlindungan insurans yang sah dan meliputi kejadian yang tidak dijangka, seperti kecederaan atau kehilangan bagasi. Ini adalah tanda bahawa ejen tersebut bertanggungjawab dan mementingkan kesejahteraan pelanggan mereka.
Kesimpulannya, jika anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan travel agent yang dipercayai adalah langkah penting untuk memastikan perjalanan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Dalam zaman serba ‘memudahkan’ ini, sebenarnya lebih banyak pilihan yang baik korang boleh pilih, lebih lagi sudah ramai individu di media sosial yang berkongsi tip travel yang lebih menyeronokkan dengan harga jauh lebih berpatutan.
Ada orang yang lebih suka merancang perjalanan sendiri dan ada yang lebih selesa untuk ejen menyiapkan butiran perjalanan dari ‘A to Z’, walau apa pun, setiap pilihan itu adalah di tangan anda,
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ingatkan Tepak Sirih Betul, Rupanya Barang Hantaran Ini Adalah Kek!
Barang hantaran mahupun dulang hantaran merupakan antara perkara utama yang perlu diambil kira kerana biar pun tiada majlis kenduri besar-besaran dijalankan, namun hantaran bagi pihak lelaki dan perempuan tetap ada.
Sebagaimana kita tahu, pihak kerajaan telah pun membenarkan untuk menjalankan acara perkahwinan tetapi masih perlu diikuti dengan SOP yang betul.
Ramai pasangan yang bakal mengakhiri zaman bujang selepas tempoh PKP 2.0 ini, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan melangsungkan pertunangan. Dan selalunya tepak sireh pasti terselit dalam setiap barang hantaran, ia merupakan satu objek budaya yang amat penting dan istimewa di dalam masyarakat Melayu tradisional.
Namun, menerusi satu perkongsian seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Muhammad Amin, dia telah memuat naik beberapa gambar kek yang dibuat sendiri ke laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini.
Apa yang menarik perhatian adalah ketelitiannya membuat kek berbentuk tepak sirih yang begitu kemas untuk dijadikan hantaran pada hari pernikahnya pada hari ini.
Rata-rata warganet juga meninggalkan reaksi yang teruja dengan hasil tangan pemuda ini.
Untungnya orang kreatif ni kan, boleh abadikan momen penting dengan hasil tangan sendiri. Apa-apa pun selamat pengantin baru!
Sumber: Muhammah Amin
Wuduk Dengan Tisu Basah, Adakah Sah Wuduk Yang Diambil?
Kegunaan tisu basah boleh memudahkan kerja harian kita, yelah ia praktis dan mudah dibawa kemana pun.
Tapi, walaupun ia praktikal boleh ke kita menggunakan tuala basah atau wet wipes pada waktu tertentu untuk berwuduk.
ARTIKEL BERKAITAN : Bolehkah Seseorang Yang Mandi Hadas Besar Mengerjakan Solat Tanpa Ambil Wuduk?
Berikut merupakan penjelasan dari Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tentang sah atau tidak wudhu yang diambil hanya menggunakan tuala basah sahaja. Semoga bermanfaat!
SAH ATAU TIDAK BERWUDUK GUNA TISU BASAH (WET WIPES)?
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya ada melihat satu video di Youtube yang mengajar untuk berwuduk dengan menggunakan tisu basah (wet wipe) ketika menunaikan umrah? Soalan saya, adakah sah wuduk dengan cara tersebut? Mohon percerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib.[3]
DEFINISI TISU BASAH (WET WIPE)
Tisu basah (wet wipe) ialah sehelai kain kecil atau kertas basah yang hanya digunakan sekali untuk membersihkan sesuatu, biasanya dijual dalam satu bungkusan.[4] Tisu basah yang digunakan untuk bayi dan orang dewasa adalah berbeza dari segi bahan buatannya, namun kedua-duanya tetap mengandungi bahan-bahan lain selain air seperti alkohol, detergen yang bercampur dengan agen pelembap, pewangi dan pengawet.[5]
HUKUM BERWUDUK DENGAN TISU BASAH (WET WIPE)
Wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain.[6]
Wuduk ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu berserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[7] Seseorang itu dikira sah wuduknya, bilamana telah memenuhi semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk.
Oleh demikian, berbalik kepada soalan yang ditanyakan, berwuduk dengan menggunakan tisu basah adalah tidak sah kerana ia tidak memenuhi dua syarat sah wuduk, iaitu:
Pertamanya, air atau kandungan yang terdapat di dalam tisu basah bukan lagi air mutlak kerana ia telah bercampur dengan bahan-bahan lain. Sedangkan di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak.[8] Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT.[9]
Keduanya, di antara syarat sah wuduk juga ialah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh[10] dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan.[11] Justeru, sepertimana yang kita ketahui, tisu basah hanya sekadar basah atau lembap, jika ia diperah sekalipun tidak dapat menitiskan air apatah lagi mengalirkannya.
Kesimpulannya, berwuduk dengan tisu basah (wet wipe) adalah tidak sah kerana ia tidak dapat memenuhi syarat-syarat sah wuduk iaitu menggunakan air mutlak dan mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh.
Begitu juga kerana sifat tisu basah (wet wipe) ini berbeza dengan sifat air (cecair). Justeru pendapat yang lebih selamat dan ihtiyat, tidak diharuskan penggunaan tisu basah sebagai gantian daripada air. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Moga bermanfaat kepada semua.
BACA LAGI : Tak Perlu Mandi Lama-Lama, Cara Mudah & Ringkas Mandi WAJIB Yang Betul
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: Maktabah Al-Bakri