Pelbagai latar belakang peserta telah mewarnai jelajah uji bakat Dewi Remaja 2022 sepanjang ia dilangsungkan di Johor Bahru dan Kota Kinabalu pada dua minggu yang lalu. Ada yang sudah berkerjaya, ada yang masih bergelar mahasiswa. Malah ada juga yang sudah bergelar selebriti media sosial dengan jumlah pengikut yang telah mencapai puluhan ribu orang.
Dalam kelompok peserta tersebut, rupa-rupanya ada juga yang memiliki raut wajah menyerupai beberapa selebriti popular.
Gadis yang dikenali sebagai Tracie Sinidol ini merupakan salah seorang peserta yang telah REMAJA temui baru-baru ini di Kota Kinabalu, Sabah.
Sekilas pandang, akan ada yang tersalah anggap peserta ini mirip Mira Filzah! Bahkan kongsinya, beberapa insan lain turut menyatakan wajahnya kelihatan persis pelakon Diana Danielle dan pelakon Hong Kong, Angelababy.
Tracie beranggapan pendapat tersebut bersifat positif dan dia sendiri merasa terharu apabila ada yang menyamakannya dengan tiga selebriti popular itu.
Begitupun, peserta yang memasang cita-cita sebagai seorang pelakon ini tidak sesekali merasakan raut wajahnya sahaja mencukupi untuk mara ke hadapan.
“Dari pandangan saya sendiri, saya tidak nampak dari sudut mana kami sama. Tetapi apabila disamakan dengan Mira Filzah, ada yang berkata ia disebabkan bentuk mata kami yang seakan sama apabila tersenyum. Mungkin dalam beberapa angle gambar kelihatan sama tetapi bila lihat depan-depan, tidak pun. Dua-dua pun ada keunikan sendiri.
“Mengenai persamaan dengan Angelababy pula, ia mungkin disebabkan mata kami yang besar,” katanya yang menerima sokongan luar biasa daripada pengikut dunia ratu cantik apabila memutuskan untuk hadir ke uji bakat Dewi Remaja 2022.
Tidak menafikan pernah berbangga apabila kisah wajahnya yang dibandingkan dengan Mira Filzah tular di media tempatan tidak lama dahulu, Tracie bagaimanapun berharap agar orang ramai dapat melihatnya sebagai Tracie Sinidol selepas ini.
“Apabila kerap digelar sebagai ‘kembar Mira’, susah untuk saya berdiri atas nama sendiri. Terus orang tidak dapat cam identiti saya. Oleh itu, jika terpilih untuk Dewi Remaja kali ini, saya berharap orang ramai dapat melihat potensi saya lebih daripada sekadar ‘kembar Mira,” ulas Tracie yang pernah bergelar peserta pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau 2021.
Penyertaan Tracie dalam uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 ini berbekalkan misi untuk melebarkan peluang berkarya dalam bidang lakonan dan peragaan; selain menimba pengalaman serta terus memperbaiki dirinya menjadi individu yang lebih baik.
Fun Fact! Mira Filzah sebenarnya pernah menyertai uji bakat Dewi Remaja 2014/2015 sebagai peserta 0001 ketika ia dianjurkan di bangunan Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam. Namun, rezeki Mira ternyata berada di luar kepompong pencarian ini apabila dia pantas membina nama sebagai seorang pelakon, pengacara dan model.
Adakah korang rasakan Tracie layak bergelar finalis Dewi Remaja 2022? Sama-sama kita nantikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
ARTIKEL BERKAITAN : Sesi Uji Bakat Dewi Remaja 2022 Berlangsung Meriah Di Thistle Johor Bharu – REMAJA