Peserta Kegemaran, Tom Tinggalkan Hero Remaja Selepas Task Lakonan. Kayu Ke?

Share

 

Cabaran lakonan dan saingan Hero Remaja serta Dewi Remaja memang tak dapat hendak dipisahkan.

 

Maklum sajalah, kebanyakan daripada alumni pencarian ini bakal bergelar pelakon dalam industry lakonan Malaysia. Nama-nama besar seperti Kamal Adli, Fizo Omar, Fattah Amin, Syafiq Kyle dan ramai lagi masih aktif dengan projek filem serta drama masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN : Senarai Selebriti Kelahiran Hero Remaja

Jadi sudah tentu finalis Hero Remaja 2020 sudah dapat menjangkakan cabaran ini.

Cuma apa yang ramai tidak jangkakan adalah penyingkiran Thompson Goh ataupun Tom dalam episod keempat semalam.

Finalis dari Sarawak itu sekaligus menjadi peserta ketiga yang meninggalkan pencarian Hero Remaja 2020 selepas AZIM YUSOF dan AZRI KHAIR pada minggu lalu.

*

Untuk episod keempat ini, 10 orang finalis dibahagikan kepada 2 kumpulan berbeza untuk mengikut kelas lakonan bersama pelakon berbakat, Fauzi Nawawi.

Menerusi naskah Kun Fayakun, Tom digandingkan bersama Hariz Hamdan, Nadhir Nasar, Aniq Suhair dan Jazmy Juma.

Sementara itu, sebuah lagi kumpulan menggarap naskah Sahabat dan ia dianggotai Imran Aqil, Umar Hisham, Haziq Nazimuddin, Jabir Meftah dan Meerqeen.

Ternyata, juri merasakan kumpulan Sahabat lebih menonjol dari segi keseimbangan lakonan di antara peserta, jalan cerita dan perkembangan plot yang membantu setiap pelakonnya mempamerkan versatiliti.

Bukanlah untuk menidakkan kemampuan kumpulan pertama tadi. Jika tidak, mana mungkin salah seorang pesertanya iaitu Nadhir Nasar memenangi imuniti pada minggu ini dan akan kekal selamat pada episod kelima minggu hadapan.

Cuma menurut juri tetap iaitu Dato’ Hans, “Ada di kalangan kamu yang mempunyai harapan untuk menjadi seorang pelakon. Ada juga yang tiada buat masa ini lalu kena belajar lagi teknik berlakon sebelum menyertai industri.

“Satu perkara yang pasti, mereka boleh mengambil arahan dengan bagus di set penggambaran, so that is a good thing,” kata beliau.

Bagi Scha Al Yahya pula, dia menyifatkan cabaran minggu ini sebagai peluang untuk melihat sisi berlainan para peserta. Sebelum ini, Scha merasakan ada finalis yang masih kekok untuk menunjukkan diri mereka di hadapan kamera. Apabila diberikan watak, barulah nampak personaliti mereka lebih menyinar.

Berkenaan penyingkiran Tom pada episod ini, Scha berkata adat pertandingan apabila peserta yang kurang menyerlah berbanding rakan finalis lain untuk dikeluarkan.

“Tom memiliki aura yang positif dan tak ramai pelapis muda sekarang yang mempunyai daya keyakinan sepertinya. He is an example to the younger crowd out there.

“Saya ingatkan kepada Tom, Azim dan Azri untuk melihat semula contoh finalis dari musim Hero Remaja dan Dewi Remaja lalu yang tidak ke peringkat finale. Ada di antara mereka yang lebih menyerlah berbanding finalis akhir.

“Jadi mereka seharusnya tak berhenti mencuba membina nama,” kata Scha yang telah 4 musim bersama keluarga produksi Hero Remaja & Dewi Remaja.

*

Buat juri jemputan iaitu pengarah, Sein Qudsi (Ruffedge) pula, beliau merasakan kesemua peserta sudah melakukan yang terbaik untuk cabaran ini. Bagaimanapun, mereka tak seharusnya mudah berpuas hati. “Esok, you should be a better actor. You should always aim to be a better version than today.

“Yang penting, banyakkan menonton corak lakonan orang lain di dalam filem dan drama. Continue to study their expression and methods.

Sudah tentu, kami akan merindui Tom for all the right reasons. Namun, kami percaya Tom mempunyai masa depan yang cerah selepas tamatnya musim ini. Dan jangan lupa untuk mengundi Tom sebagai HERO CONFIDENT NIVEA MEN okay.

Untuk menonton sedikit tip oleh Sein, klik video di bawah:

 

Published by
FZ