Siapa je yang tidak pernah impikan untuk memakai barangan jenama mewah seperti pakaian dan aksesori terbaru.
Namun sudah tentu tidak semua insan mampu memilikinya. Jadi bagi segelintir individu ini, mereka dilihat sanggup menggayakan barangan tiruan semata-mata ingin nampak ‘class’ dengan penampilan masing-masing.
Baru-baru ini, kecoh industri hiburan Korea Selatan apabila Song Ji-ah yang merupakan pempengaruh (influencer) yang kini lebih popular dikenali menerusi program realiti Netflix, Single’s Inferno telah ‘terkantoi’ memakai memakai barangan jenama mewah tiruan.
Ji-ah yang menggunakan panggilan FreeZia di media sosial miliknya seperti Instagram dan YouTube menjadi mangsa kecaman kerana selama ini berpenampilan hidup mewah di televisyen serta video di YouTube. Rupa-rupanya, persalinan jenama mewah seperti Chanel dan Dior yang dipakainya itu tiruan belaka.
Lalu, tanggapan awal peminat dan masyarakat yang pada mulanya terpegun dengan kecomelan serta rupa paras cantik gadis berusia 25 tahun ini telah berubah. Malah, ramai kecewa dengan Ji-ah yang terpaksa berpura-pura dengan gaya hidup yang ditunjukkan selama bergelar YouTuber sejak tahun 2019 semata-mata demi ‘content’ serta imej.
Kemelut yang melanda Ji-ah ini secara tidak sengaja tercetus setelah warganet berasa sangsi dengan barangan jenama Chanel yang dipakainya. Mereka mendapati baju tersebut berbeza dengan yang rekaan sama yang pernah disarungkan oleh ahli kumpulan Blackpink, Jennie.
Tidak mungkin Jennie pun pakai barangan tiruan Chanel kerana dia sendiri merupakan salah seorang duta antarabangsa jenama Perancis itu!
Fuh, tajam betul mata netizen.
Kontroversi ini tidak berhenti setakat di situ apabila warganet juga gigih menjalankan ‘kerja-kerja penyiasatan’ dengan menggali akaun media sosial Ji-ah sehingga ke posting lamanya.
Mereka kemudiannya mengumpul bukti bahawa semua barangan yang dipakai Ji-ah adalah barangan tiruan dan mengemukakan buktu itu di beberapa platform komuniti atas talian di Korea seperti Nate Pann dan Theqoo.
Seorang netizen turut menjelaskan, “Kedudukan logo salah dengan ketebalan yang berbeza. Tag di bahagian dalam juga tiada. Dia telah membuat kandungan digital dengan barangan palsu”.
Err..
Hanya disebabkan ingin menjaga imej agar nampak seorang orang berada, tak fasal-fasal Song Ji-ah terus menjadi bahan kritikan warganet. Justeru, dia telah pun membuat permohonan maaf di laman Instagram-nya.
Hello. Ini ialah Song Ji-ah.
Pertama sekali, saya memohon maaf kepada semua yang kecewa dan terluka kerana saya. Pada waktu ini, terdapat kontroversi mengenai pakaian yang dipakai di platform SNS dan program ‘Solo Hell’. Dakwaan kontroversi yang diperkatakan sebahagiannya adalah benar. Saya benar-benar minta maaf.
Saya memohon maaf sekali lagi di atas semua keadaan yang berlaku ini kerana melanggar hak cipta pereka. Sebagai seseorang yang mempunyai impian untuk melancarkan jenama sendiri, saya mengiktiraf dan memandang kontroversi ini secara serius.
Pada masa yang sama, kami akan melihat dengan lebih teliti supaya ia tidak akan berlaku. Semua kandungan tersebut telahpun dipadamkan. Saya juga memohon maaf kepada jenama yang ‘terluka’ kerana saya.
Saya secara ikhlas memohon maaf kepada semua pihak termasuk peminat, pelanggan dan pihak jenama dan akan lebih bertanggungjawab pada masa hadapan. Terima kasih kerana membaca muat naik yang panjang ini.
*
Bukan setakat itu, Song Ji-ah juga telah memadamkan kebanyakan posting lamanya yang menunjukkannya memakai barangan tiruan.
Hm, rasanya isu ini juga sering berlaku dalam masyarakat kita. Untuk kelihatan mewah dan bergaya, ramai tidak kisah memakai barangan tiruan asalkan nampak bergaya dengan jenama mewah.
Sebagai seorang pempengaruh popular, golongan ini seharusnya lebih peka dan tidak menunjukkan contoh kurang baik kepada orang ramai. Takkanlah kita hendak pengikut kita juga bersalah menggalakkan pemakaian barangan yang meniru hak cipta milik jenama lain?
Dalam pada itu, Ji-ah baru saja menghabiskan penggambaran program temubual baharu di saluran JTBC berjudul Knowing Bros serta program variety show di MBS berjudul Omniscient Interfering View.
Namun dek kontroversi kali ini, ramai tidak pasti jika dia akan ditampilkan dalam dua buah program tersebut demi mengekalkan rating.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.