Sukan

Pesilat Negara Thamaraj Vasudevan, Ahmad Fauzan Dinaikkan Pangkat Sarjan

Share

Selepas mencipta sejarah sebagai atlet berbangsa India pertama bergelar juara dunia di bumi Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, pesilat negara, Thamaraj Vasudevan kini dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa pada 2 Januari ini.

Menurut Setiausaha Persatuan Silat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Noorsyahiddawati Abdullah Sani, ia sebagai penghargaan buat atlet berusia 28 tahun yang telah berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Sibu, Sarawak itu susulan kejayaannya meraih pingat emas kategori bebas putra di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20, Ahad lalu.

Dalam pada itu, turut diberikan kenaikan pangkat Sarjan seorang lagi pesilat yang meraih pingat emas acara silat kreatif tunggal putra Ahmad Fauzan Hadi.

Ahmad Fauzan Hadi yang meraih pingat emas di acara silat kreatif tunggal putra (Kredit: FMT)

“Dia (Thamaraj) akan dipakaikan pangkat Sarjan bersama KPL Ahmad Fauzan Hadi. Kita meraikan mereka pada 26 Disember ini. Ia satu penghargaan besar buat mereka terutama sekali mereka adalah KPTD, jadi mereka layak untuk dipakaikan pangkat,” katanya

Selain itu, Noorsyahiddawati juga meluahkan rasa teruja melihat pencapaian Thamaraj yang beralih daripada sukan taekwondo kepada seni silat hingga membuahkan hasil dengan bergelar juara dunia.

Katanya, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu telah menunjukkan minatnya dalam sukan silat dan pihaknya telah melatih serta menghantar Thamaraj menyertai Kejuaraan Silat Kebangsaan pada 2022.

“Dari situ dia (Thamaraj) ‘laku’ ke skuad negara selain pencapaiannya sepanjang tahun ini,” ujarnya.  

BACA: Thamaraj Vasudevan Jadi Atlet Silat Berbangsa India Pertama Dari Malaysia Bergelar Juara Dunia

Thamaraj muncul antara pesilat senior yang menyumbang enam pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia, menyaksikan Malaysia turut membawa pulang sembilan perak dan empat gangsa.

Skuad remaja negara turut cemerlang dengan lima emas, empat perak dan empat gangsa. 

Terdahulu, pada aksi di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) itu, Thamaraj menewaskan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek, untuk membawa pulang pingat emas dan muncul juara dunia.

Kredit: Bernama
Kredit: FMT

Sementara itu, Thamaraj ketika ditemui pemberita berkata kejayaan menewaskan Khudoyberdiev ibarat membalas dendam kekalahan sebelum ini dan pada masa sama memberikan keyakinan buatnya mencipta pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa khususnya Kejohanan Asia di Uzbekistan tahun depan.

“Saya pernah bertemu beliau (Khudoyberdiev) sebelum ini tetapi kemenangan dibatalkan kerana (pukulan) terkena di leher. Ia seperti pelanggaran berat. Kejohanan seterusnya adalah Kejohanan Asia di Uzbekistan. Sasaran saya sudah pasti untuk menang emas selepas pingat perak pada dua edisi lepas,” katanya.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE