Baru-baru ini, satu petisyen yang dikenali sebagai “Undang-Undang Pencegahan Kim Soo Hyun” kini mendapat perhatian meluas apabila berjaya mengumpul lebih 50,000 tandatangan dalam tempoh singkat di laman rasmi petisyen Majlis Nasional Korea Selatan.
Dilaporkan, petisyen ini dimuat naik pada 31 Mac lalu dan sehingga jam 5 petang pada 7 April, ia telah menerima sebanyak 51,083 tandatangan dan telah melepasi syarat minimum untuk dipertimbangkan ke peringkat jawatankuasa.
Menurut sistem petisyen elektronik Korea Selatan, setiap permohonan yang mencecah 50,000 tandatangan dalam masa 30 hari akan disemak oleh jawatankuasa berkaitan. Jika diluluskan, ia bakal dibawa ke sesi Parlimen untuk dibahaskan dan mungkin diluluskan sebagai undang-undang baharu.
BACA: Kontroversi Kim Soo Hyun Beri Dampak Negatif, Rancangan ‘Good Day’ G-Dragon Tak Laku
Menurut pemohon petisyen tersebut, petisyen ini digerakkan selepas kes mengejutkan yang melibatkan pelakon terkenal, Kim Soo Hyun dan pelakon Kim Sae Ron tular sehingga mendapat perhatian ramai pihak. Difahamkan, Soo Hyun dikatakan terlibat dalam jenayah seksual terhadap Sae Ron ketika beliau masih di bawah umur.
“Malangnya, undang-undang sedia ada hanya melindungi kanak-kanak berumur 13 hingga bawah 16 tahun, sedangkan definisi ‘kanak-kanak bawah umur’ dalam undang-undang Korea adalah di bawah 18 tahun,” tulis pemohon petisyen itu.
Dalam pada itu, ramai yang menyuarakan kebimbangan bahawa kelemahan undang-undang sekarang membuka ruang kepada pelaku untuk terlepas daripada hukuman, terutamanya dalam kes melibatkan pedofilia dan mangsa bawah umur. Justeru itu, pemohon mencadangkan agar had umur perlindungan dinaikkan serta hukuman diperketatkan.
Selain itu, orang ramai turut berharap agar nama “Undang-Undang Pencegahan Kim Soo Hyun” dijadikan simbol untuk mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perlindungan terhadap remaja dan kanak-kanak dalam industri hiburan.
BACA: Kim Soo Hyun Berisiko Dibatalkan Dari Acara Besar Di Taiwan, Denda Mungkin Cecah RM4.5 Juta
Sekadar info, kerjaya Kim Soo Hyun tergugat selepas keluarga mendiang Kim Sae Ron mendakwa bahawa mereka pernah menjalin hubungan selama enam tahun, dari 19 November 2015 hingga 7 Julai 2021 namun pihak pengurusan, Gold Medalist tampil menafikan dakwaan tersebut.
Pada awal April lalu, Kim Soo Hyun bagaimanapun tampil menafikan beliau tidak bercinta bersama Sae Ron ketika di bawah umur. Namun, mengaku menjalin hubungan selama setahun iaitu empat tahun sebelum drama ‘Queen of Tears’ ditayangkan. Kim Soo Hyun juga menegaskan bahawa dirinya bukan penyebab Sae Ron mengambil nyawa sendiri pada 16 Februari 2025.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.