Berita

‘Pian’ & ‘Rambai’ Setia Di Bawah Terik Panas Untuk Iringi Pasangan Diraja

Share

Pada hari kebiasaan, kita tidak selalu disajikan dengan kemunculan dua ekor gajah ini. Namun, hari ini bukanlah sebarangan hari.

Tanggal 30 Januari 2024 menjadi saksi kepada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah & Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang setelah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Ketua Utama Negara selama lima tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Berpeluang Hadiri Lambaian Kasih Buat Agong & Permaisuri Agong- REMAJA

Khas bersempena istiadat yang sedang berlangsung pagi ini, baginda berdua akan diarak secara beradat. Menariknya, ia juga akan diiringi oleh kelibat ‘dua haiwan comel’ ini.

Pian dan Rambai, dua ekor gajah yang dibawa khas ke ibu negara bagi mengepalai perarakan mengiringi kereta diraja.

Bagi membezakan yang mana satu Pian dan mana satu Rambai, kedua-dua ekor gajah ini dilayahkan dengan kain warna berbeza iaitu merah kedam (gajah pertama di hadapan) dan kuning keemasan (gajah kedua di belakang). REMAJA difahamkan, ia juga bagi membezakan gajah yang mana satu untuk Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Cukup mencuri tumpuan pada sebelah pagi tadi apabila Pian dan Rambai turut diiringi oleh ramai insan yang lengkap dengan persalinan tradisional bagi melambangkan kaum-kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Sekaligus, perarakan dua ekor gajah dan insan pengiring ini merupakan simbol patriotik rakyat bagi meraikan baginda diraja berdua.

Pian dan Rambai juga tidak menunjukkan sebarang masalah apabila diminta setia menantikan kehadiran baginda berdua di bawah terik matahari dekat Istana Negara.

Tidak cukup dengan dua ekor gajah ini, turut kelihatan adalah sekelompok kuda bagi menyertai perarakan bersejarah pada hari ini.

Tak sabar pula nak lihat bagaimana istiadat yang menanti di Pahang sebentar nanti.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ