“Pikul Tanggungjawab Sebagai Bapa Bukan Mudah, Saya Perlukan Seseorang Bersama Saya…” -Shuib Sepahtu

Share

Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu, akui keputusannya mengahwini Watie Hanifiah, yang dijangka pada Jun depan adalah demi kebaikan anak-anaknya.

Ujarnya, dia lebih memilih perkara yang mampu membahagiakan kesemua cahaya matanya buat masa ini selain berharap perkahwinan berkenaan akan berjalan dengan lancar.

“Perkahwinan ini berbalik kepada niat. Saya niat untuk anak-anak dan keluarga sebab memikul tanggungjawab sebagai bapa bukan mudah.

“Saya tahu tugas bapa ini berat dan anak-anak saya masih kecil. Perkara ini tidak mudah bagi saya. Saya memilih untuk anak, kalau saya pilih diri sendiri, saya akan membujang.

“Saya ada tanggungjawab besar sebab arwah Siti Sarah Raissuddin mahu saya membesarkan anak-anak dengan cara dan jalan paling baik. Saya perlukan seseorang untuk bersama saya,” tuturnya kepada Remaja.

Penyampai radio Suria FM itu berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Indigital Music dan FYP Media, di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, petang tadi.

Pun begitu, Shuib memaklumkan dirinya tetap perlu mendapatkan persetujuan daripada cahaya matanya sebelum meneruskan untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati itu.

“Alhamdulillah segala perkara negatif dan positif saya fikirkan sampailah keempat-empat anak positif. Seingat saya anak terakhir yang diberitahu adalah Uwais sebab dia sudah berusia 12 tahun dan makin dewasa.

BACA JUGA: ‘Pemergian’ Yang Dicemburui Umat Islam, Untungnya Siti Sarah

“Dia adalah orang terakhir yang saya tunggu untuk bersetuju. Sampailah dia bersetuju barulah saya kata ini adalah masanya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Shuib menamatkan teka-teki mengenai hubungannya dengan Watie apabila mendedahkan mereka telah pun selamat bertunang pada 6 Mei yang lalu.

Menerusi perkahwinan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Shuib Sepahtu

Published by
Fath