Pilih Baju Putih Seolah Beri Petanda, Pelajar Meninggal Di Hari Graduasi Di Pangkuan Ibu Bapa

Share

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah semasa berada.

Menyaksikan anak sendiri maut di depan mata, pastinya satu kenangan yang amat sukar dilupakan. Lebih menambah hiba apabila ibu dan ayah sempat memangku tubuh anak kesayangan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Inilah suasana pilu yang dilalui oleh Abdul Rahem, 65 dan isteri, Homaidah Abdul Manaf, 60 apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Tambah sebak, kejadian itu berlaku ketika kedua-duanya bersama arwah anak mereka, Muhammad Firdaus Abdul Rahem, 20 dalam perjalanan menghadiri majlis Graduasi Firdaus pada pagi tadi.

Arwah Firdaus memilih memakai baju putih untuk majlis graduasinya seolah memberi petanda ajalnya sudah tiba
Arwah Firdaus meninggal dalam pangkuan ibu bapanya akibat kecederaan di rusuk selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan

Dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Kompleks Belia dan Sukan Paroi, arwah yang baru tamat pengajian dalam kursus Teknologi Bangunan sedang dalam perjalanan ke Majlis Graduasi Giatmara Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Paroi.

Dalam kejadian kemalangan jam 7.10 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada rusuk kiri.

Dalam pada itu, abang kepada arwah Firdaus sempat membuat catatan di akaun Facebook miliknya dengan berkata berkata, arwah adiknya itu memakai baju baru berwarna putih, seolah-olah tahu dan ingin memberi petanda akan kejadian yang berlaku.

Jelasnya lagi, mereka sempat berbual-bual semalam sebelum adiknya itu meminta izin untuk tidur awal kerana perlu bangun awal bagi menghadiri majlis graduasi pada keesokan harinya (pagi ini).

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada rusuk kiri.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta dipandu Abdul Rahem dari arah Seremban menghala ke Paroi membelok ke kanan untuk masuk ke Kompleks Belia dan Sukan.

“Pada masa sama, sebuah motosikal Kawasaki ZR800 ditunggang Kamaruzaman Ismail, 36, yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh pintu hadapan bahagian penumpang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Motosikal berkuasa tinggi ini merempuh tempat duduk penumpang hadapan kenderaan dan mengakibatkan kematian terhadap Firdaus. Penunggang motosikal, Kamruzaman Ismail parah di kepala dan badan dan  kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban
Segalanya tinggal kenangan.

Ibrahim berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut, manakala penunggang motosikal parah di kepala dan badan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Petang tadi arwah Firdaus sudah selamat dikebumikan di Ampang. Al-Fatihah.

Takziah kami ucapkan kepada keluarga dan kenalan arwah.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros