Rupa sudah ala pelakon Korea, telatahnya pun memang selalu mencuit hati.
Tidak hairanlah apabila Meerqeen berjaya menarik perhatian juri di malam finale Hero Remaja 2020; sekaligus dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga secara keseluruhannya.
Bagi korang yang telah mengikuti program Hero Remaja sedari awal lagi, pasti korang sedar akan peningkatan yang ditunjukkan oleh remaja berusia 19 tahun ini dari satu episod ke episod seterusnya.
Ya, karakter Meerqeen yang easy-going memudahkan dirinya untuk pantas disenangi oleh peminat Hero Remaja 2020. Namun, peningkatan dari segi skil dan potensi yang ada pada dirinya juga tidak boleh kita pertikaikan.
Ditanya mengenai perasaan sebagai pemenang tempat ketiga, ini jawapannya.
” Meerqeen tak sedih berada di tempat ketiga kerana dari awal, meerqeen tak letak harapan yang terlalu menggunung pada malam tersebut. Nadhir jelas berhak menjuarai Hero Remaja 2020 kerana ciri-ciri ‘champion’ ada dalam dirinya.
meerqeen sudah cukup bersyukur apabila mula dikenali selepas menyertai Hero Remaja dan ia amat membantu untuk karier meerqeen juga.”
Sebagai pemenang tempat ketiga, Meerqeen membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan selempang.
Berbakat Besar
Tidak terbatas dengan bakat nyanyian semulajadi yang ‘diwarisi’ daripada keluarganya, anak saudara kepada penyanyi Safura Ya’cob dari sebelah ibu ini juga telah perlahan-lahan memperbaiki seni lakonan dan peragaan.
Baru-baru ini, pemilik nama Shameer Shauqeen ini telah terpilih membintangi telefilem berjudul ‘Kelaster’ yang bakal ditayangkan di Astro First.
Menceritakan tentang dua orang pelajar yang terkandas di kampus gara-gara wabak COVID-19 yang merebak, berlakulah pelbagai insiden yang tidak diingini. Drama yang bergenre komedi seram ini turut dibintangi oleh Achey dan pelakon serba boleh, Nora Danish.
Tapi yang kurang manisnya, ada kata-kata nakal yang mengatakan dia mendapat peluang itu atas faktor ‘cable’ ahli keluarganya.
Ish, dia pergi casting tau!
“Meerqeen lakukan semua ini hasil usaha sendiri. Tak pernah ‘cucuk’ sesiapa untuk dapatkan job. Jadi saya tak hiraukan jika ada yang berpendapat kononnya saya gunakan cable kerana saya lebih tahu momen struggle saya sendiri.
“Sejak berusia 16 tahun, saya sudah tanamkan impian untuk sertai bidang seni. Tiga tahun saya cuba nasib sehingga ke hari ini. Akhirnya ada hasil pertama setelah menyertai Hero Remaja 2020.
”Saya sedar perjalanan saya masih panjang, masih banyak ilmu yang perlu saya kaut and I am eager to learn.”
Ditanya mengenai soalan PSA yang diterimanya semasa malam finale 16 Julai lalu, Meerqeen merasakan sedikit terkejut dan kaku bila diajukan soalan tersebut.
“Terkejut kerana dalam banyak-banyak soalan, soalan itu yang saya terima. Meetqeen memilih bunga matahari kerana kelebihan ketinggian yang ia ada berbanding bunga-bunga lain dan warnanya yang menarik perhatian. Jadi Meerqeen samakan karakter diri yang orang kata mudah didekati dan ramah (ketawa) – orang katakah kan, dengan bunga matahari.”
Apapun, tahniah kami ucapkan kepada Meerqeen atas kejayaannya ini.
“Terima kasih kepada mak ayah, penyokong yang banyak memberi semangat untuk meneruskan cabaran sepanjang Hero Remaja 2020z
“Meerqeen juga ingin berterima kasih kepada pihak Ideaktiv dan Astro kerana merekalah yang percaya kepada potensi diri saya. Terima kasih kepada pihak produksi , rakan-rakan finalis Hero Remaja 2020 dan semua yang membantu perjalanan Meerqeen dalam pertandingan.”
Untuk pengetahuan, 5 orang finalis telah diadili oleh Dato’ Hans Issac dan Scha Alyahya selaku juri tetap serta Yusry Abdul Halim selaku juri jemputan. Pentas akhir Hero Remaja 2020 telah dihoskan oleh Ain Edruce dan Awal Ashaari.