Hero Malaya, Remy Ishak dan isteri tercinta, Ezza Yusof memilih nama Tuah Alam buat putera sulung mereka yang dilahirkan pada tanggal 27 Julai lalu.
Pelakon filem hit Pulang itu berkongsi perkara tersebut menerusi sebuah video rancangan Oh My Baby yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
ARTIKEL BERKAITAN : Isteri Selamat Melahirkan Bayi Sulung, Remy Ishak Kini Bergelar Bapa
Kata Remy, sebelum mendirikan rumah tangga lagi, dia sudah mempunyai angan untuk memberi nama anaknya yang mempunyai unsur kemelayuan.
“Masa bujang lagi, saya ada terfikir kalau anak lelaki, saya mahu letak nama ada unsur Melayu.
“Saya dah bincang dengan Ezza dan dia pun setuju,” katanya.
Pada masa sama, pelakon berusia 41 tahun itu turut memberitahu bahawa dia ada beberapa nama lain yang turut menjadi pilihan untuk anaknya sebelum memilih Tuah Alam.
“Selain daripada Tuah Alam, kami ada letak Tuah Arjuna, Tuah Alexander. Kenapa Alexander? Sebab saya ada terbaca buku Alexander.
“Tapi akhirnya kami memilih Tuah Alam. Nak ada nama ‘mix’ juga pada mulanya, tapi tidak boleh sebab bukan jiwa,” ujarnya lagi.
Sekadar informasi, Remy dan Ezza melangsungkan perkahwinan pada tanggal 21 Ogos 2021 selepas lapan tahun menjalin cinta.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.