
Personaliti media sosial terkenal, Pinn Yang mendedahkan dirinya menerima banyak mesej dan e-mel daripada khalayak yang meminta bantuan kewangan.
Justeru itu, pemilik Good Foodie Media bercadang mahu membuka yayasan sendiri supaya dapat membantu lebih ramai lagi insan yang memerlukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sofyank Intai Peluang, Rancang Nak Buka Syarikat Produksi Sendiri!
“Ada yang mesej saya minta bantuan seperti nak beli susu anak, untuk pendidikan dan sebagainya.
“Saya bagi je bantuan tapi tak dinafikan, ada juga segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan menggunakan beberapa nombor telefon berbeza,” katanya kepada Remaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Buli Siber: Khairul Aming Mohon Ibu Bapa Pantau Kegiatan Anak-Anak
Pada masa sama, pempengaruh berusia 31 tahun itu turut memaklumkan tidak mampu menghulurkan bantuan kepada setiap orang kerana jumlahnya yang terlalu ramai, apabila akaun media sosialnya dilimpahi mesej daripada pengguna.
“Jadi saya rasa mungkin saya boleh buat yayasan untuk tolong orang, biar organisasi atau komuniti yang bagi bantuan tu. Saya memang tak boleh tolong semua orang, terlalu banyak.
“Saya kena naikkan bisnes saya lagi, bila dapat keuntungan saya boleh berkongsi dengan ramai orang,” kongsinya lagi.
Terbaharu, Pinn Yang tercalon dalam kategori TikTok Shop Creator of the Year di TikTok Awards 2024 yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre) Kuala Lumpur pada 11 Ogos ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO: Instagram Pinn Yang
Pembedahan Pintasan Perut Untuk Cepat Kurus, Ini Hukum Yang Korang Perlu Tahu

Masalah obesiti dikalangan masyarakat Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Di Malaysia, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus daripada orang dewasa mempunyai, sama ada berlebihan badan atau obes di mana 30.4 peratus adalah berlebihan berat badan, manakala 19.7 peratus adalah obes (Berita Harian).
Bagi mereka yang sudah berusaha untuk mengurangkan berat badan namun masih tidak menemui jalan keluar, pembedahan Bariatrik atau mengecilkan perut adalah solusi daripada masalah ini.
Pembedahan Bariatrik sesuai dilakukan ke atas mereka yang indeks jisim badan (BMI) melebihi 35 dan gagal mendapatkan penurunan badan kekal dan konsisten dengan cara lain.
Menurut Public Health Malaysia, pembedahan ini bukan sebagai pembedahan kosmetik, fungsi utamanya bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punya pelbagai penyakit kronik.

Selepas pembedahan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan serta menyebabkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang biasa diambil.
Hasilnya, berat badan akan berkurangan. pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 serta merendahkan kolesterol.
Selain itu, bagi wanita berbadan besar yang mempunyai masalah haid yang tidak teratur sehingga mengganggu kesuburan juga dapat diperbaiki.
Pembedahan pintasan perut telah terbukti mampu mengurangkan berat badan sebanyak 60% dalam tempoh 2 tahun. Bukan sahaja penampilan fizikal akan bertambah baik, kebanyakan penyakit metabolik seperti kencing manis, kolesterol dan darah tinggi berjaya dikawal.

Namun begitu, bagi umat Islam, sebelum melakukan pembedahan Bariatrik ini, korang perlu tahu hukumnya daripada sudut agama.
Berikut adalah perkongsian Ustaz Azhar Idrus tentang hukum potong usus untuk kecantikan.
Hukum membuang atau memotong mana-mana bahagian tubuh samada bagian luar tubuh atau bahagian dalam tubuh adalah pada asalnya diharamkan melainkan dua sebab :
Pertama : Ia disuruh oleh syarak seperti memotong kuku atau rambut atau tempat khitan atau seumpamanya. Maka memotong atau membuang barang yang disuruh syarak tiadalah termasuk dalam perbuatan yang dilarang.
Kedua : Kerana berubat yakni bertujuan menolak mudarat yang ada pada seorang seperti penyakit seperti memotong jari akibat penyakit kencing manis atau membuang buah pinggang yang rosak atau seumpamanya. Maka membuang anggoota badan seperti ini tidaklah dilarang kerana masuk dalam katogeri berubat.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. Rasulullah saw bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّه
Artinya : Allah telah melaknat akan sekelian orang yang membuat tattoo dan yang meminta ditatookan dan yang mencukur bulu kening dan yang meminta dicukurkan bulu kening dan yang menjarangkan giginya kerana mencantikkan diri yang mengubah mereka itu akan kejadian Allah.” (Hadith Imam Muslim).
Berkata Imam Nawawi :
وأما قوله : ( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن ، وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن
Artinya : “Dan ada pun sabdanya ‘yang menjarangkan gigi kerana mencantikkan’ itu maka maknanya mereka melakukannya akan yang demikian itu kerana hendak jadi cantik.’ (Kitab Syarah Muslim).
Maka dapat difahami bahawa melakukan pembedahan samada pada anggota zahir seperti muka atau tangan atau kaki atau lainnya atau anggota batin seperti jantung atau buah pinggang atau perut atau seumpamanya sebab merawat penyakit maka hukumnya adalah harus dan jika sebab kecantikan maka hukumnya adalah haram.
Jelas disini bahawa mengubah kejadian dengan membuat pembedahan membuang atau memotong usus supaya badan jadi kurus untuk kelihatan cantik adalah haram dan dosa besar.

Yang diharuskan menjalani pembedahan membuang usus itu ialah kerana berubat seperti merawat penyakit kencing manis atau darah tinggi misalnya maka hukum membuang usus ketika ini adalah harus kerana berubat itu ialah sebab hendak menolak mudarat dan menolak mudarat itu disuruh oleh syarak.
Berkata Imam Nawawi :
، أما لو احتاجت إليه لعلاج أو عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم
Artinya : “Ada pun jikalau berhajat kepadanya kerana berubat atau sebab aib pada gigi atau seumpamanya maka tidak mengapa.” (Kitab Syarah Muslim)
Kebanyakkan orang-orang yang melakukan perbuatan yang haram ini ialah kerana jahil dengan hukum agama dan terikut-ikut dengan orang lagi menurut akan hawa nafsu.
Majlis Fiqah Islam dalam satu muktamar yang diadakan pada tahun 2007 telah memutuskan :
(لا يجوز إجراء جراحة التجميل التحسينية التي لا تدخل في العلاج الطبي ويُقصد منها تغيير خلقة الإنسان السويّة؛ تبعا للهوى والرغبات بالتقليد للآخرين ، مثل عمليات تغيير شكل الوجه للظهور بمظهر معين، أو بقصد التدليس وتضليل العدالة ، وتغيير شكل الأنف، وتكبير أو تصغير الشفاه، وتغيير شكل العينين وتكبير الوجنات) .
Artinya : “Tiada harus melakukan pembedahan mencantikkan yang bukan termasuk dalam rawatan perubatan yang bertujuan mengubah kejadian asal manusia kerana mengikut keinginan dan ingin mengikut orang lain seumpama mengubah bentuk wajah supaya tampil dengan wajah yang tertentu atau bertujuan melakukan penyamaran sehingga hilang yang benar dan mengubah bentuk hidung dan membesarkan atau mengecilkan bibir dan mengubah bentuk mata dan mengubah bentuk pipi.”

Secara kesimpulannya, jika pembedahan Bariatrik ini dilakukan untuk merawat penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi, atau kegemukkan yang boleh memudaratkan nyawa atau kesihatan, hukumnya adalah harus.
Namun, jika pembedahan dilakukan atas dasar kecantikan diri sama ada oleh lelaki atau perempuan adalah haram dan dilaknat kerana mengubah ciptaan Allah.
Jadi, sebelum ambil keputusan untuk melakukan pembedahan potong usus ini, fikirkanlah kesan dan niat utama korang terlebih dahulu.
Wallahualam!
Sumber: Public Health Malaysia, Ustaz Azhar Idrus
Rezeki Baharu Memang Dikejar Tapi Malle Christian Enggan Lupa Asal Usul Sebagai Anak Jati Sabah – Isu Digital Ogos 2023

Isi Kandungan
ToggleHari-harinya dipenuhi dengan tuntutan kerja yang bersilih ganti tanpa henti. Namun itu tidak menjadi penghalang buat pendatang baharu industri seni, Malle Christian Anderson Barlus untuk terus positif mencari rezeki yang halal.
REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Malle Christian.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks ADRIANA SYAURAH jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Sebaik sahaja pertandingan Dewi Remaja 2022 menutup tirainya, Malle Barlus segera mengatur langkahnya untuk lebih dikenali sebagai seorang anak seni. Menginjak ke usia 25 tahun, dirinya yang sering menghabiskan masa muda dengan menceburi pertandingan ratu cantik suatu ketika dahulu mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebelum bergelar ‘Dewi’.
Selaku rakan kongsi kepada sebuah agensi bakat bernama MNB Studio di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur, Malle mula sedar kepentingan mengasah potensi baru agar industri seni kekal diwarnai dengan individu-individu berbakat serta berkualiti tinggi.
Kini setelah menamatkan pencarian Dewi Remaja 2022, wajah jelita Malle juga tidak lekang menghiasi naskah dan karya tempatan yang bakal menjadi tontonan penonton di layar skrin kelak.
Sewaktu ditemui Remaja baru-baru ini di set penggambaran kempen Saya #RemajaMalaysia, kami berkesempatan mengorek perkembangan terbaru Malle setelah menjadikan Kuala Lumpur sebagai rumah utama.
“Buat masa sekarang, Malle lebih fokuskan kepada tugasan harian selaku pencipta kandungan (content creator) tetapi pada masa yang sama; ada juga berlakon secara sampingan. Sememangnya, saya amat teruja menantikan tayangan drama 1 Million Dollar Voice yang merupakan drama tempatan pertama melibatkan saya sebagai salah seorang wataknya. Saya juga terlibat dalam sebuah telefilem yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Paling penting, Malle sekarang tengah fokus untuk memperluaskan lagi agensi saya di Kuala Lumpur. Maklumlah saya merupakan rakan kongsi kepada MNB Studio,” kongsinya.
Tunduk Sebelum Dongak Ke Langit
Rupa paras sememangnya merupakan salah satu rezeki pemberian Ilahi. Dalam konteks kerjaya, Malle bagaimmanapun memilih untuk enggan dikenali hanya disebabkan rupa paras yang dimilikinya sahaja. Bagi Malle, keperibadian dan usaha keras seseorang adalah sesuatu yang lebih utama.
Disebabkan itulah, Malle selalu akan terus tunduk sebelum mendongak ke langit kerana itulah yang dipelajarinya menerusi pengalaman lampau menyertai pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia 2018, Unduk Ngadau 2021 dan Dewi Remaja 2022.
Melalui pengalaman-pengalaman berharga inilah, banyak ilmu baharu lagi bernilai yang dicedok oleh gadis asal Kudat, Sabah ini termasuklah mengenai kepentingan profesionalisme dan enggan menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Melalui Unduk Ngadau, Malle mendekati adat resam sukunya iaitu Suku Rungus dan Dusun dengan lebih teliti. Malah, dia juga menyeru anak muda untuk pulang ke kampung halaman dan menabur bakti kepada masyarakat setempat.
“Sejujurnya banyak ilmu baharu yang saya pelajari menerusi Unduk Ngadau. Meskipun saya membesar di Sabah, saya akui selama ini saya kurang arif tentang adat warisan suku sendiri. Kini, barulah saya ketahui dengan lebih jelas mengapa kami menyambut Pesta Keamatan dan adat resam suku saya sendiri,” jelasnya.
Sumbangan Generasi Z
Sempena sambutan hari kemerdekaan yang kian hampur, kami bertanyakan apakah definisi Saya #RemajaMalaysia kepada diri Malle sendiri.
Sebagai generasi pelapis keamanan Malaysia, baginya setiap individu memikul tanggungjawab masing-masing dalam memastikan negara kita kekal aman, harmoni dan maju.
“Menurut Malle, Saya #RemajaMalaysia bukan sahaja merujuk kepada aspek umur tetapi juga menyentuh kepada aspek lain apa yang mampu disumbangkan oleh generasi muda kita terutamanya generasi Z kepada negara.
“Kita mahukan anak-anak muda yang peka dengan amanah yang diturunkan oleh nenek moyang terdahulu demi memastikan negara kekal aman tanpa sebarang peperangan dan kemunduran,” jelasnya dengan penuh semangat.
“Kenapa saya amat menyintai Malaysia? Jawapannya mudah. Malaysia ialah rumah saya dan tempat kelahiran saya. Usahlah kita menjadi kacang yang melupakan kulitnya dengan melihat kemajuan di negara lain dan terus melupakan apa yang kita sendiri miliki di sini,” luahnya.
Kibar Sayap Lebih Luas
Lambakan anak muda yang memilih kerjaya pempengaruh sebagai kerjaya pada zaman digital ini muncul bak cendawan selepas hujan. Manakan tidak, rata-rata kita semua yang bergelar warganet dan mengisi masa senggang di media sosial sentiasa dimomok dengan gaya hidup glamor yang sering ditonjolkan oleh pempengaruh tempatan serta antarabangsa sehingga ia menjerat pemikiran bahawa kerjaya sebagai pempengaruh adalah jalan mudah untuk memperolehi kehidupan mewah.
Sebaliknya, ramai tidak sedar bahawa kejayaan dalam mana-mana bidang kerjaya tidak akan datang bergolak sekiranya seserang sekadar goyang kaki dan ‘menjual persepsi’ kehidupan di media sosial.
Selaku seorang pempengaruh sendiri, Malle merasakan gaya hidup mewah yang kerap dipamerkan golongan pempengaruh muda Malaysia di media sosial bukanlah suatu perkara yang boleh dipercayai seratus peratus.
Anak muda bagi Malle tetap harus cakna bahawa jaminan masa hadapan yang cerah masih terletak kepada sejauh mana mereka benar-benar dahagakan ilmu hingga ke menara gading dan akhirnya, memperoleh segulung ijazah.
“Saya sedar ada sesetengah lepasan SPM yang terus enggan melanjutkan pelajaran dan menghabiskan masa merakam video klip pendek untuk dimuat naik ke media sosial demi dijadikan punca pendapatan. Situasi ini amat merisaukan kerana untuk mengejar pendapatan sebagai pempengaruh tidaklah semudah itu. Mereka tetap perlu mempelajari strategi di sebalik kejayaan sesebuah akaun dan penjenamaan diri serta kandungan mereka.
“Nasihat Malle untuk remaja yang lebih muda daripada Malle adalah utamakan ipelajaran terlebih dahulu. Banggakan ibu ayah di kampung dengan segulung ijazah di tangan. Setelah menamatkan pengajian dan ingin meneruskan cita-cita sebagai pencipta kandungan, model dan selebriti, teruskanlah. Kesemua itu adalah punca rezeki yang bagus namun ia perlu digenggam dengan ilmu terlebih dahulu.
“Untuk menjadi seseorang yang dikenali ramai bukanlah sesuatu yang mudah. Anda perlu berani dan jangan takut dengan bayang masing-masing. Jadikan kegagalan mahupun rejection itu sebagai pembakar semangat tidak putus semangat dalam membangunkan nama masing-masing.
“Gagal atau berjaya itu belakang kira. Paling penting, anda cuba terlebih dahulu,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Dia Suka KFC, Nasi Goreng No Pedas,” – Rina Harun Luang Masa Beraya Bersama Bella

Kes penderaan kanak-kanak kurang upaya sindrom down, Bella sememangnya mendapat perhatian ramai. Tidak kira bangsa dan agama, semuanya prihatin dan tidak jemu berkongsi perkembangan kes ini agar tidak dilupakan.
Setelah terbongkarnya keadaan Bella yang berada dalam jagaan Rumah Bonda yang kini telah disita, nasib kanak-kanak malang itu kini semakin baik dalam jagaan rumah kebajikan Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.
Terbaharu kemaskini mengenai anak syurga itu, seperti yang dimuat naik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, keadaan kanak-kanak berusia 13 tahun itu semakin baik. Dia yang berkunjung ke rumah kebajikan tersebut meluangkan masa melawat Bella dan juga penghuni yang lain pada hari raya keempat.
“Hari ini masuk hari keempat kita berhari raya. Saya meraikan hari raya keempat hari ini bersama Bella dan rakan-rakan. Bella manis dan ceria berbaju tema ungu menikmati juadah yang dihidangkan. Saya turut membawa nasi goreng kegemaran Bella yang saya masak sendiri dari rumah.
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Akan Gunakan Kuasa Yang Ada…”- Che Puan Besar Khaleeda Prihatin Nasib Bella, Ingin Bantu Tuntut Keadilan
“Selain KFC, Bella memang suka nasi goreng ‘no pedas’, berselera sungguh dia menikmati hidangan-hidangan yang saya bawa. Saya juga membawa nasi impit, lemang, rendang, ayam goreng kek dan kuih muih khas buat Bella dan rakan-rakan,” kongsinya mengenai juadah yang dibawa ketika membuat lawatan.
Ujarnya lagi, “Terima kasih kepada warga kerja pusat pelindungan kanak-kanak ini yang tanpa jemu menjaga dan melindungi kanak-kanak yang ditempatkan di tempat selamat ini setiap hari. Alhamdulillah mereka dijaga dengan baik dan sempurna dari sudut keperluan fizikal dan emosi.”
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Che Puan Besar Khaleeda, Kini Tunku Mahkota Johor Pula Bersuara Tentang Kes Penderaan Bella
Sekadar informasi mengenai Kes Bella yang mana tertuduh Siti Bainun Ahd Razali ketika ini sedang didakwa di mahkamah. Tunku Mahkota Johor dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bulan lalu telah menyuarakan kekesalan mengenai situasi penderaan yang dialami kanak-kanak malang itu.
Kedua-dua baginda mengikuti rapat kes tersebut dan menghantar peguam sebagai pemerhati kepada kes ini. Dengan adanya sokongan dari Istana, masyarakat menjadi lebih cakna dan tidak membiarkan kes ini sekadar di angin lalu. Kebenaran harus ditegakkan dan mereka yang bersalah harus dihukum.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Rina Harun