‘Pioneer’ Dunia Kewartawanan Malaysia Meninggal, Warga Kumpulan Media Karangkraf Bersedih

Share

Sesungguhnya, segala yang datang dari Allah SWT akan kembali jua kepadaNya..

Warga Kumpulan Media Karangkraf, NU Ideaktiv Sdn Bhd dan dunia kewartawanan hari ini redha dengan pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali, pagi tadi.


Abd Jalil, 66, merupakan seorang jaguh atau ‘pioneer’ dalam bidang penulisan dan kewartawanan.

Selama lebih 47 tahun menyalurkan idea bernas dan kreativiti penulisan sehingga membuatkan para pembaca beliau ‘ketagih’ untuk menyelak halaman muka surat, Datuk Abd Jalil turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Bukan itu saja, beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang ‘tidak tahu duduk diam’ dan sentiasa bergerak aktif, sehinggakan dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

Perkongsian Wartawan Senior

Bagi warga Nu Ideaktif khususnya, Datuk Jalil diingati sebagai seorang ketua yang amat positif dan tidak lokek untuk menurunkan ilmu dan tip.

Menurut beberapa mantan editor terdahulu, Datuk Jalil juga tegas dalam misinya untuk membawa kualiti penulisan di kalangan staf Kumpulan Media Karangkraf ke peringkat yang lebih baik dari semasa ke semasa. Lalu, beliau sendiri menggerakkan sesi kursus penulisan demi tujuan tersebut.

Sudah pasti, dunia kewartawanan telah kehilangan sebutir bintang yang sukar dicari. Menurut laporan rakan media di Sinar Harian, jenazah Datuk Abd Jalil dibawa dari hospital ke kediamannya di Bandar Sunway untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21 Subang Jaya.

Takziah REMAJA ucapkan kepada ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham. Al-Fatihah.

Published by
FZ