PKP Dilanjut Sehingga 14 April, PM Sebak Pimpin Rakyat Bacaan Doa

Share

Isi Kandungan

Toggle

 

Memasuki hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, kerajaan menerusi ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April 2020.

Tambahan tempoh selama 2 minggu tersebut dilihat sebagai satu tuntutan meskipun ramai yang mengeluh. Maka, pengumuman rasmi yang dilakukan oleh PM sebentar tadi diharap dapat membuatkan kita melakukan persediaan lebih awal.

Sambil diiringi dengan bacaan doa oleh PM untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT, berikut adalah 5 poin penting yang REMAJA ambil daripada perutusan tersebut.

 

01

“Saya mohon agar semua tenang dan tidak panik. Saya mendapat laporan lebih 95 peratus rakyat mematuhi perintah PKP. Ramai yang mematuhi nasihat duduk di rumah. Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal.

“Saya ingin ingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia.”

 

02

“Saya tahu, bukan mudah. Pastinya banyak cabaran yang kita hadapi pada waktu ini. Dan keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar.

“COVID 19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Kadar jangkitannya begitu cepat. Hari ini seramai 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.

“Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan COVID- 19 dikesan, sehingga jam 12 tengahari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes. Ini bermakna, kes positif COVID 19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.”

 

03

”Hari ini, satu lagi inisiatif iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat telah saya umumkan.

“InsyaAllah, pada hari Jumaat nanti saya akan umumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh. InsyaAllah, no one will be left behind.”

 

04

“Saya telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.

“Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.

“Saya ingin memanggul agar organisasi di Malaysia membantu dalam waktu-waktu sukar ini. Saya percaya bantuan anda akan membantu meringankan beban mereka.”

 

05

“Saya tahu kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini. Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat.

“Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.

“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara. Kita telah berikhtiar sedaya upaya. Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa.”

*

Untuk mendengar ucapan penuh Perdana Menteri, klik link di bawah.

Published by
FZ