Isu bahasa setelah sekian lama menjadi perdebatan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Malaysia. Baru-baru ini sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Melaka dilangsungkan, tular sebentar kes seorang calon wakil rakyat yang bertanding yang didapati tidak dapat memahami soalan yang diberikan oleh pihak media hanya kerana ia ditanya dalam Bahasa Melayu.
Negara bukannya sehari dua baru ingin mengajak rakyat untuk memperkasakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Malah, pelbagai kempen pernah dianjurkan saban tahun agar rakyat sedar kepentingan bertutur dalam satu bahasa kebangsaan terhadap perkembangan sosial dan memupuk semangat nasionalisme yang seharusnya ada dalam diri setiap daripada kita.
Justeru, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam agar masyarakat kembali memperkasakan bahasa kebangsaan kita terutamanya di tempat kerja seharusnya dipandang serius oleh semua kakitangan terlibat.
Ketika berucap pada Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia semalam, beliau telah menegur agensi kerajaan, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diakui semakin menjauhi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pertuturan dalam urusan kerja seharian.
Katanya, Bahasa Melayu seakan diletakkan sebagai bahasa kedua terpenting dalam persidangan, mesyuarat, nama projek, jenama produk dan nama syarikat selepas Bahasa Inggeris.
“Peranan kita sebagai rakyat Malaysia adalah untuk memastikan Bahasa Melayu terus berkembang yang ketika ini sudah menjadi trend untuk tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi-agensi kerajaan.
“Mesyarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris.
“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mestilah menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri?” ulas beliau sebelum menambah,
“Dan tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan mekar di persada tamadun manusia di celah kepesatan penggunaan Bahasa Inggeris.”
Betul cakap PM kita, kalau bukan kita yang bangga dengan bahasa kebangsaan sendiri, siapa lagi? Tidak salah untuk menguasai bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin yang diakui merupakan bahasa komunikasi global pada zaman ini.
Namun janganlah sesekali kita meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu atau lebih parah lagi, malu untuk menggunakannya serta merendah-rendahkan penggunaannya semasa di khalayak ramai.
Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi bahawa Bahasa Melayu kini menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.
“Pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.”
*
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber : (1)