Sebuah lagi filem seram Indonesia, Pocong The Origin bakal menemui korang di pawagam dan yang bestnya, filem ini ditayangkan lebih kurang sehari dua sebelum hari raya.
Dah jadi satu kebiasaan bila ramai yang mengambil kesempatan untuk menonton wayang ketika hari raya kan? Jadi, selepas dah penat beraya di pagi hari, apa kata korang relaks sekejap untuk pergi menonton.
Pocong The Origin mengisahkan tentang mayat seorang penjenayah, Ananta yang mati di tali gantung harus dikebumikan di kampung halaman, Cimacan sebelum bulan purnama. Jika tidak, mayatnya boleh hidup semula kerana ilmu hitam yang diamalkannya sebelum meninggal dunia.
Lantas, anak perempuan Ananta, Sasthi dan pemandu van jenazah, Yama membawa jenazah tersebut ke Cimacan. Sepanjang perjalanan, ada saja halangan dan perkara mistik yang berlaku seakan tidak mengizinkan jenazah dikebumikan di situ.
Kebiasaannya kita menonton filem seram yang berlatarkan rumah usang atau pun bangunan tinggal, tapi kali ini, Pocong The Origin memberi sedikit kelainan kerana hampir 80 peratus jalan ceritanya berkisarkan sepanjang perjalanan menghantar jenazah ke kampung halaman.
Melalui jalan hutan yang sunyi dan gelap, sudah tentu korang dapat mengagak apa yang bakal terjadi. Time
ni dah ready la nak tutup mata dan telinga.Kalau leka sikit, tup tup tiba-tiba korang akan menjerit sebab terkejut. Bayangkanlah situasi van jenazah yang rosak di tengah-tengah hutan pada waktu malam.
Memang menyeramkan.
Filem yang berdurasi 90 minit ini menampilkan hero Eiffel Im In Love, Samuel Rizal dari sisi yang berbeza. Memegang watak Yama yang sedikit menghiburkan dengan pertuturan bahasa Jawa membuatkan penonton berasa agak janggal kerana mungkin tidak pernah melihat dia dengan karakter sedemikian.
Namun begitu, watak Yama dilihat menjadi antara yang terpenting kerana dia adalah individu yang dipertanggungjawabkan untuk menghantar jenazah sebelum waktu bulan purnama.
Selain Nadya Arina yang berperanan sebagai anak perempuan Ananta, Sasthi dilihat sebagai seorang anak yang taat dan tidak pernah menyalahkan ayahnya walaupun seorang penjenayah. Nilai kasih sayang yang ditonjolkan sedikit sebanyak berjaya menyentuh hati penonton.
Cuma sayangnya filem ini sepertinya anti klimaks dan yang membuatkan ia nampak macam terburu-buru nak menamatkan cerita.
Okay taknak bagi spoiler, apa kata korang saksikan sendiri Pocong The Origin di pawagam berhampiran pada 4 Jun nanti.