Dunia baru saja tamat meraikan World Hijab Day sepanjang bulan Februari lalu.
Tak sangka apabila ada berita gembira berkaitan dengan hijabi menemui kita pada awal bulan Mac. Seorang wanita kelahiran Melaka membanggakan Malaysia apabila beliau menempa tudung rekaannya telah dipilih untuk anggota polis Muslimah di United Kingdom.
Walaupun ramai anak Malaysia yang telah menempa nama di bumi Inggeris itu, namun kejayaan ini lebih manis apabila ia membabitkan anggota awam yang bekerja keras untuk keselamatan rakyat.
Perekanya, Dr Eliesmaziah Alias atau lebih dikenali sebagai Dr Elies telah memperolehi peluang tersebut setelah berjumpa dengan beberapa orang anggota polis di sebuah pameran.
“Saya lihat material pakaian seragam mereka tidak sesuai dan praktikal untuk anggota polis. Kami berbincang dan dari situlah, saya mula berhubung dengan pihak atasan polis di United Kingdom,” katanya kepada rakan media di Harian Metro.
Tudung berjenama MoreSlim itu menggunakan jenis fabrik ringan, anti-bakteria dan anti-peluh yang sesuai digunakan untuk tempoh panjang, sesuailah dengan anggota polis yang lasak berkhidmat.
Tudung tersebut juga mempunyai sijil pengeshan ISO, EN (European Standard) dan AATCC (American Association of Textile Chemist & Colorists) untuk menjamin faktor keselesaan dan tahan lama.
Sejak digunakan secara rasmi pada bulan Oktober lalu oleh polis Muslimah barisan hadapan, sebulan kemudian Dr Elies diminta untuk mereka pula untuk polis Muslimah di unit taktikal.
“Saya berasa gembira bekerja dengan mereka ini yang sentiasa menghormati ilmu dan kepakaran saya. Mereka juga gemar mengambil kira idea dan faham akan kehendak orang Islam,” tambah beliau lagi yang telahpun dihubungi anggota bomba Musliman di United Kingdom pula, untuk tugasan sama.