Popular Suatu Ketika Dahulu, Peranti BlackBerry Tidak Lagi Berfungsi Mulai Hari Ini

Share

Mereka yang sempat memiliki telefon atau tablet BlackBerry pasti faham tentang kepopularan dan juga betapa trendy gajet ini suatu ketika dahulu. Dengan rekaan yang sangat sleek dan juga sistem pesanan ringkas ataupun Blackberry Messenger (BBM) yang popular, ia menjadi pilihan ramai ketika itu.

Penulis pun antara yang tidak ketinggalan memiliki model telefon dari jenama ini. Namun seiring dengan kemunculan telefon pintar lain seperti iPhone dan juga android, populariti BlackBerry mula menjunam dan tidak lagi menjadi pilihan golongan muda mudi.

Kredit foto: Unsplash/ Thai Nguyen

Produk jenama ini gagal bergerak seiring dengan penampilan baharu telepon pintar yang dihasilkan oleh iPhone dan juga android dengan pelbagai ciri-ciri yang lebih mengagumkan.

Untuk tampil relevan, pada tahun 2013 BlackBerry melakukan perubahan menerusi pengenalan BlackBerry 10 OS dan juga telefon pintar Z10. Namun begitu kedua-dua model ini tidak mendapat sambutan hangat.

Disebabkan isu ini, telefon BlackBerry kini tidak lagi berfungsi mulai 4 Januari 2022. Ini bermaksud peranti yang menggunakan BlackBerry 7.1 OS dan versi yang lebih awal, BlackBerry 10, BlackBerry PlayBook OS 2.1 dan versi terdahulunya terkesan dengan pengumuman yang dilakukan.

Kredit foto: Unsplash/ Randy Lu

Ia mempengaruhi kebolehan setiap peranti untuk melayari internet, membuat panggilan telefon dan menghantar mesej teks, tidak kira sama ada peranti disambungkan melalui talian penyedia perkhidmatan atau Wi-Fi.

Merujuk kepada satu kenyataan yang disiarkan jenama ini, ia tertulis, “Mulai tarikh ini, peranti yang menjalankan perkhidmatan dan servis ini melalui sambungan pembawa atau Wi-Fi tidak lagi boleh diharapkan untuk berfungsi dengan baik, termasuk untuk data, panggilan telefon, SMS dan fungsi pangilan kecemasan. Kami berterima kasih kepada ramai pelanggan dan rakan kongsi setia kami selama ini.”

Kredit foto: Unsplash/ Alejandro Mendoza

Walaupun kini tidak lagi menjadi pengeluar peranti seperti telefon, jenama BlackBerry masih lagi wujud namun memfokuskan kepada bisnes yang berbeza. Mereka memfokuskan kepada penghasilan perisian berbanding peranti.

“Kami telah mencapai kemajuan besar dalam melaksanakan strategi perniagaan. Kini kami menumpukan pada menyediakan perisian dan perkhidmatan keselamatan pintar kepada perusahaan dan kerajaan di seluruh dunia,” menurut maklumat yang dinyatakan BlackBerry.

+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Published by
Fiezreen