Premis Perniagaan Tidak Dibenarkan Beroperasi Pada Hari Raya Pertama Dan Kedua, Namun…

Share

Sambutan Aidilfitri bakal tiba kurang empat hari lagi. Semestinya perayaan tahun ini bakal menjadi meriah setelah dua tahun rakyat Malaysia tidak menyambutnya akibat sekatan yang dikenakan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Apabila masyarakat sudah boleh pulang ke kampung, antara perkara yang bakal menerima faedah adalah sektor perniagaan. Peniaga barangan basah atau kering, makanan dan lain-lain pasti tidak cukup tangan melayan permintaan.

Namun begitu, lain pula halnya dengan perintah yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh di negeri Kelantan dalam satu salinan notis yang dimuat naik di akaun Facebook organisasi tersebut. Notis berkenaan untuk memaklumkan berkaitan penutupan perniagaan Pasar Raya, restoran dan premis perniagaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut maklumat yang dimuat naik itu, “Majlis telah menetapkan supaya pengusaha premis tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan pada 01 dan 02 Syawal 1443H iaitu pada hari pertama dan hari kedua Syawal.”

Walaupun diwajibkan tutup pada hari raya pertama dan kedua, pihak Majlis Daerah Pasir Puteh membenarkan perniagaan dibuka pada hari raya kedua dengan syarat.

Dalam kenyataan tersebut, Noor Azman Md Nawi yang merupakan Setiausaha MDPP berkata, “Kelonggaran diberikan untuk menjalankan perniagaan pada hari raya kedua dengan syarat kakitangan diberi pilihan untuk bertugas dan hendaklah dibayar elaun lebih masa.”

Hantaran tersebut setakar artikel ini ditulis telah menerima lebih 163 tanda suka dan dikongsi lebih 58 pengguna Facebook. Keputusan yang dibuat MDPP ini merima pelbagai reaksi masyarakat. Jika diamati ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan tersebut.

Berikut adalah beberapa perkongsian di ruangan komen hantaran terbabit.

“Datang dari mana idea nak suruh tutup habis kedai pada hari raya. Yang mana nak berniaga biarkanlah mereka berniaga, mesti majikan bayar gaji lebih. Waktu beginilah orang nak pergi kedai. Kalau buat jamuan makan kemudian bahan tak cukup, habis tu nak beli barangan di mana?

“Berapa ratus ribu orang di perantauan akan balik Pasir Puteh.  Inilah masa untuk memperkukuhkan ekonomi. Waktu raya kalau jual gajah dan harimau pun anak perantauan beli. Mereka yang balik memang nak habiskan duit di kampung,” ujar individu  bernama Siti Hafsha yang memberi pandangan.

Manakala seorang lagi pengguna facebook, Amizi Roy pula berkata, “Kena buka juga kedai. Kesian sekiranya ada barang kecemasan yang habis.”

“Susah macam ni, atas alasan apa kena tutup restoran dan pasar raya?” tanya Aminuddin Ghazali.

Pihak Majlis Daerah Pasir Puteh dilihat tidak memberi maklum balas kepada pelbagai persoalan yang diajukan oleh pengguna Facebook yang rata-rata kurang berpuas hati dengan notis tersebut.

BACA JUGA: Pening Nak Susun Pakaian Balik Raya, Ini Tip Macam Mana Nak Kemas Beg Dengan Mudah

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Facebook MDPP

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen