Di saat beberapa buah negara sudah mulai memberi kelonggaran pergerakan di sebalik ancaman COVID-19 malah sudah ada aura-ura alam persekolahan akan dibuka semula terutama di Malaysia (bagi pelajar tingkatan 5 dan 6), negara jiran Filipina mengambil pendekatan berbeza.
Jelas Presidennya, Rodrigo Dutarte semua sekolah yang melibatkan 25 juta murid tidak akan dibuka sehinggalah virus corona ini ditemui kerana dirinya tidak mahu membahayakan nyawa para pelajar. Ada ura-ura sebelum ini sekolah akan dibuka kembali pada Ogos selepas mulai bercuti mulai Mac tetapi beliau melihat pembukaan sekolah adalah satu risiko yang amat besar.
Menurut Presiden yang terkenal dengan gelaran “The Punisher” ini, pembukaan semula sekolah disaat vaksin belum ditemui adalah satu risiko besar. “Kecuali saya yakin benar-benar selamat maka hal ini akan dipertimbangkan,” katanya dalam satu wawancara dengan AFP semalam.
“Bagi saya virus vaksin corona ini paling utama. Jika vaksin itu ditemui tiada masalah lagi,”katanya lagi dalam wawancara tersebut.
Setakat hari ini, belum ada lagi penawar bagi COVID-19 malah rakyat sentiasa diingatkan tentang New Norma di mana mereka perlu melakukan penjarakan sosial, mengamalkan kebersihan tangan, memakai penutup mulut dan lebih baik duduk di rumah berbanding keluar tanpa arah tujuan.
Dalam memastikan tiada pelajar yang terus tercicir disebabkan sudah lama tidak bersekolah, Presiden Dutarte turut menggalakkan pembelajaran secara langsung di alam maya. Namun isu kemiskinan terutama di kawasan penempatan dan kekurangan kemudahan jaringan lebar mengakibatkan isu alam persekolahan ini boleh mengakibatkan lebih ramai pelajar tercicir.
Filipina mencatatkan 14,300 kes dengan 873 orang meninggal akibat wabak ini.
Apa pendapat korang ya tentang hal alam persekolahan ini? Bolehkah dibuka atau ditangguhkan hingga dunia betul-betul sudah selamat?
Oh Oppa! Warga Emas Rugi RM225,000 Selepas Terjerat Dalam Love Scam Dengan ‘Lee Min-ho’
Seorang warga emas yang juga pesara guru hanya mampu berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM225,000 selepas diperdaya sindiket ‘love scam’ yang menyamar sebagai artis K-Pop iaitu Lee Min-ho.
ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan Jemputan Kenduri Kahwin, Rupanya Taktik Baru ‘Scammer’ Untuk Kebas Duit Anda!
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, wanita berusia 74 tahun itu mengenali suspek yang menggunakan identiti bintang Korea Selatan itu pada tahun lalu menerusi Facebook.
Menurutnya, sepanjang mengenali suspek, mereka hanya berhubung melalui ‘messenger’ di dalam aplikasi media sosial tersebut.
“Pada Oktober lalu, suspek mula meminta mangsa memasukkan wang kepadanya dengan alasan dia mempunyai kes perbicaraan di mahkamah.
“Suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia memerlukan jumlah wang yang banyak untuk lepas daripada kes tersebut,” katanya.
Mohd. Adli memberitahu, simpati dengan nasib artis K-Pop pujaannya itu, mangsa membuat enam pemindahan wang sebanyak RM225,000 ke dalam satu akaun dalam tempoh dua bulan sehingga bulan ini.
Menurutnya, selepas membuat pemindahan wang itu, wanita tersebut baru menyedari bahawa dia sudah ditipu.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini kelmarin,” katanya.
Tambah Mohd. Adli, polis sedang mengesan sindiket yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
BACA LAGI: ‘Menang’ Hadiah Cabutan Bertuah iPhone 12 Pro Max, Remaja Kena Scam RM26,200
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Kosmo
Hebat “Membawang” Orang Malaysia Nie! Masalah Air Di Negeri Selangor Dah Sampai Ke Pengetahuan Saintis AS
Hebatnya orang Selangor.
Dah tiba-tiba disebut hingga ke Amerika Syarikat. Lebih menarik, ia bukan berkaitan kemajuan dicapai oleh negeri termaju di Malaysia sebaliknya berikutan masalah air dihadapi, hikz.
Seorang saintis molekular Amerika Syarikat (AS), Raven Baxter tidak menyangka ciapannya mengenai penemuan air di bulan oleh Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendapat respons daripada rakyat Malaysia.
Ciapan yang dibuat menerusi akaun Twitter miliknya, @ravenscimaven itu mendapat jumlah ‘retweet’ yang banyak daripada Selangor.
Rata-rata netizen Malaysia mengaitkan penemuan air di bulan dengan gangguan bekalan air di Selangor sehingga mendapat perhatian wanita itu.
“Kita meraikan air dijumpai di bulan, tetapi sebahagian besar ‘retweet’ ini berasal dari orang-orang di Selangor (Malaysia) yang mengalami gangguan bekalan air utama kerana pencemaran sumber air mentah. Kita tidak memenuhi keperluan air asas di bumi,” katanya dalam satu ciapan lain.
Beliau kemudian menyatakan Selangor bukan satu-satunya negeri yang mengalami kesukaran itu.
“Kita telah mendengar banyak kisah mengenai penduduk tanpa air. Air penting untuk kehidupan di bumi. Kita mesti pastikan akses (kepada air) dijamin untuk setiap manusia,” katanya.
Menerusi ciapan balas daripada netizen negara ini, Baxter berkata dia dapat belajar mengenai banyak perkara.
“Saya sangat gembira sehingga saya putuskan untuk memberi lebih perhatian terhadap apa yang terjadi di rantau lain yang tidak pernah saya pergi atau dengar,” ujarnya dalam satu ciapan lain. – K! ONLINE
12 FAKTA MENARIK Wajib Tahu Operasi Menyelamat Remaja Dari Gua Tham Luang, Chiang Rai
Semalam merupakan hari yang cukup menggembirakan apabila kumpulan akhir remaja bersama jurulatih mereka berjaya dikeluarkan dalam satu operasi menyelamat yang dianggap misi mustahil tetapi berjaya dilaksanakan iaitu Thailand Cave Resque.
Bermula dari 23 Jun hingga semalam, 10 Julai iaitu selama 17 hari, dunia memberikan tumpuan penuh kepada usaha penyelamatan yang dianggap merbahaya selain paling sukar di dunia. Kesemua 13 remaja ini berusia antara 11-16 tahun berjaya dibawa melalui satu tiub yang dipasang oksigen kerana keadaan dalam gua yang gelap, berlumpur dan amat sukar.
Seorang penyelam profesional dari Unit SEAL Tentera Laut Thailand menyifatkan mengharungi laluan sempit dan air yang keruh dalam gua adalah cabaran paling sukar namun kerjasama dari semua membuatkan kesemua mangsa termasuk terakhir dibawa keluar iaitu jurulatih mereka, Ekk telah berjaya dilakukan.
Berita ini turut menarik perhatian Presiden Amerika, Donald Trumph yang mengucapkan tahniah. Begitu juga Perdana Menteri Britain, turut mengucapkan hal yang sama.
Namun di sebalik kejadian dan operasi menyelamat, ada 12 fakta paling menarik perlu diketahui. Menurut tulisan Arafat Azami, ada 12 kejadian yang boleh dianggap menyentuh hati semua insan berlaku di mana kesemuanya BERSATU.
Ini FAKTANYA
Tahu apa yang paling menarik dalam operasi Thailand Cave Rescue ini?
KERJASAMA.
The world has come together.
1) Seorang wanita telah menawarkan diri untuk mengutip baju-baju askar dan penyelamat untuk dibasuh bersih setiap malam. Basah dan penuh lumpur kotor.
Mereka mencuci, menjahit mana yang terkoyak, melipat dan menghantar semula semua baju tersebut pada pukul 4 pagi. Kata salah seorang dari pekerja, dia tak mampu dan tiada kemahiran untuk mengeluarkan mangsa secara langsung, tapi apa yang dia mampu ialah bersihkan semua baju para penyelamat disana.
2) Orang kampung khususnya kaum lelaki, mereka bertindak menjadi volunteer kepada mereka yang keluar masuk ke gua menggunakan motorsikal peribadi. Kata beliau walaupun sumbangannya sangat kecil, tapi harapnya dapat membantu serba sedikit.
3) Puan Sophia Thaianant, menawarkan masakan panas untuk para penyelamat yang beragama islam kerana tahu betapa sukarnya untuk mereka mendapatkan makanan halal di kawasan tersebut.
Bermula dari 100 bungkus pek makanan, makin bertambah dan berganda pula bilangannya setiap hari. Ada waktu jika team beliau masak nasi beriyani dan kari, mereka akan masak lebih supaya yang bukan islam juga turut dapat merasa. Ya, team beliau dibantu kewangan dari pelbagai pihak untuk menyediakan makanan tersebut.
4) Doctor Richard Harris adalah antara penyelamat profesional dan doktor perubatan yang terbang dari Australia minggu lepas. Beliaulah yang masuk ke dalam gua untuk memberi rawatan pada mereka dan mengesahkan yang kesemua 13 mangsa sudah bersedia untuk keluar.
5) Mereka yang berniaga dipasar setiap hari menghantar pelbagai jenis sayur dan bahan mentah secara percuma, dan sukarelawan pula memasak tanpa henti untuk para penyelamat.
6) Bua Chaicheun, seorang penanam padi bergegas tinggalkan tanamannya dan beliau antara yang menawarkan diri sebagai tukang masak di lokasi gua.
Untuk penyelamat sampai jauh ke dalam gua, air banjir dipam secara besar-besaran, hampir 130 juta liter air mengalir keluar di pergunungan. Bila Bua Chaichuen pulang semula ke kampung, sawah beliau tenggelam dan habis musnah.
Banjir kerana air yang dipam keluar dari kawasan gua dan gunung selama beberapa hari ini masuk ke kawasan tanamannya. Dengan jiwa yang penuh semangat katanya tidak mengapa. Dia cuma mahu kesemua anak-anak itu selamat. Beliau berkata,
‘Children are more important than rice.
The rice can always regrow.
But we can’t regrow the children’
7) Orang kampung juga turut membantu menjadi sukarelawan untuk memudahkan semua kerja-kerja penyelamat. Jangan tak tahu perkhidmatan mengurut juga disediakan dikawasan sekitar gua.
Massage-massage, rendam kaki yang lenguh dengan air limau, khidmat gunting rambut pun ada. Mereka memulakan kerja dari 6 pagi berakhir di tengah malam.
Semangat masyarakat mereka sangat kuat. Apa yang boleh dibantu, mereka akan bantu.
8) Belum masuk lagi cerita tentang para divers yang berkemahiran bertaraf dunia yang berkumpul dari awal.
Mereka ialah sukarelawan yang tidak dibayar dan kebanyakan mereka menggunakan peralatan bawah tanah mereka sendiri walaupun pasukan Thailand menyediakan peralatan penyelamat. Kesemua mereka ini keluar dan masuk ke dalam gua tanpa henti dan mendapat gelaran The A-Team untuk misi ini
9) 2 penyelam professional dari UK yang mula-mula menemui kanak-kanak didalam gua itu ialah sebenarnya ahli bomba dan seorang lagi jurutera. Bila wartawan minta untuk ditemuramah, mereka menolak dengan menjawab,
‘We’ve got a job to do.’
Hebat.
Bak kata Gabernor Chiang Rai ketika memulakan misi ini,
‘Sesiapa yang menawarkan bantuan, pengetahuan, teknologi, peralatan, kami dengan sukacitanya menerima’
10) Bagaimana kesemua anak-anak ini bertahan 10 hari kekal tenang dalam gelap gelita, tanpa makanan, lumpur lembab yang berbau dengan kekurangan oksigen?
Coach, Ekapol Chanthawong ajar kanak-kanak tersebut bermeditasi. Bertahan dan mendidik jiwa mereka supaya bertenang dengan menyimpan tenaga yang ada sehingga mereka dijumpai.
Ekapol adalah anak yatim piatu sejak berumur 10 tahun. Dia menjadi monk (sami) kemudian meninggalkan biara untuk menjaga nenek beliau yang sudah uzur dan dalam masa yang sama beliau jadi pembantu jurulatih bolasepak.
Beliau turut hilang bersama kanak-kanak tersebut. Masa 2 penyelam menjumpai mereka, dikatakan kanak-kanak tersebut dijumpai sedang bermeditasi beramai-ramai. Mereka masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa sesama mereka.
Meditasi tak kira bagaimanapun cara dan ajarannya, akan membentuk mental yang kuat dan semangat tidak putus asa terhadap semua kemungkinan.
11) Untuk operasi menyelamat ini, seramai 90 orang penyelam professional turut serta.
50 daripada mereka ialah penyelam dari pelbagai negara dan baki 40 orang adalah penyelam dari Thailand. Dikatakan mereka menggunakan method menyelamat dari rancangan asal iaitu 2 penyelam akan mengiringi seorang kanak-kanak. Salah seorang dari penyelam pula akan membawa tong oksigen untuk kanak-kanak tersebut.
Kata salah seorang penyelam, ia bagaikan mendaki gunung everest malah lebih lagi. Perlu memanjat batu-batu gua, merangkak, meniarap sehingga dada dan belakang badan dihimpit batu, berjalan dan kemudian perlu menyelam.
12) Anggarannya ialah mengambil masa 6 jam pergi, dan 5 jam balik untuk operasi ini. Tapi semalam bagai mencipta sejarah bila pantasnya pasukan menyelamat membawa keluar 4 orang kanak-kanak dalam jarak masa yang cepat.
Terus yakin dan semangatlah untuk hidup!
Baca juga laporan mengenai operasi semalam.
Kumpulan terakhir empat pemain pasukan bola sepak “Mu Pa” dan jurulatih mereka, Ekapol Chantawong berjaya dibawa keluar dengan selamat dari gua Tham Luang di Chiang Rai, untuk mengakhiri operasi menyelamat yang berisiko itu.
Sepanjuang operasi selama tiga hari, pasukan penyelamat dari pelbagai negara berjaya mengeluarkan kesemua 13 mangsa yang terperangkap dalam gua yang ditenggelami air. Jurulatih mereka berusia 25 tahun dikenali dengan gelaran “Ekk” ialah orang terakhir yang dibawa keluar dengan selamat.
“Dua belas pemain bola sepak Ma Pu dan jurulatih mereka keluar dari gua itu dengan selamat. Kami sekarang menunggu bagi keempat-empat remaja, demikian disahkan oleh Unit SEAL Tentera Laut Thailand menerusi catatan dalam laman Facebook bagi mengumumkan kejayaan menyelamat remaja lelaki tersebut bersama jurulatih mereka.
Empat penyelam termasuk seorang doktor yang ditempatkan untuk memantau remaja terbabit keluar dengan selamat dari gua dan berada dalam keadaan baik, kata unit elit itu yang menjadi tulang belakang operasi menyelamat bersama beberapa pasukan penyelamat dari negara asing.
“kami tidak pasti sama ada ini satu keajaiban, sains atau apa-apa. Kesemua 13 remaja sekarang telah dibawa keluar dari gua,” kata Unit SEAL Tentera Laut menerusi satu lagi catatan dalam laman Facebook.
Lima mangsa yang diselamatkan hari ini telah dibawa ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk menjalani pemeriksaan bersama lapan remaja lagi yang menjalani rawatan perubatan di hospital yang sama.
Pasukan penyelamat mula menggerakkan usaha terakhir untuk menyelamatkan lima mangsa terakhir yang masih terperangkap dalam gua kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) semalam.
Dalam operasi yang berani dan berisiko yang dilancarkan pada hari Ahad dan semalam, pasukan penyelamat terpaksa mengharungi laluan sempit dan air yang keruh dalam gua sebelum berjaya membawa keluar kelapan-lapan remaja itu yang terperangkap sejak 23 Jun.
Sementara itu, bekas gabenor Chiang Rai, Narongsak Ossothanakorn dalam taklimat kepada media malam tadi di Chiang Rai dan menyifatkan operasi menyelamat itu untuk menyelamat 13 remaja dan jurulatih mereka sebagai “misi tercapai” walaupun banyak yang menggambarkannya sebagai “misi mustahil’ sebelumnya.”
“Kami telah menyelamatkan semua mangsa. kami telah berjaya,” kata beliau pada taklimat media yang penuh sesak yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan dan Facebook, dan menambah hampir 400 organisasi menyumbang peralatan untuk membantu dalam misi menyelamat.
Beliau berkata, kumpulan pertama remaja dibawa keluar dari gua kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan) dan diikuti empat lagi diselamatkan termasuk jurulatih mereka.
Narongsak yang akan menyandang jawatan baharu di wilayah Phayao selepas ini juga memberi memberi penghormatan kepada bekas penyelam SEAL Tentera Laut, Saman Kunan yang meninggal ketika keluar dari gua selepas menghantar tangki oksigen ke satu daripada ruang gua.
“Beliau adalah wira yang sebenar, wira Tham Luang,” kata beliau.
Sementara itu, bagi Ekapol Chantawong, bukan sahaja menjadi jurulatih bola sepak bagi budak-budak itu, tetapi juga sepanjang mengharung kemelut lebih dua minggu itu, turut menjadi pelindung dan tempat bergantung harap ketika mereka berjuang untuk terus hidup dalam gua yang penuh bahaya itu.
Sebagai orang terakhir keluar dari gua itu hari ini, “Ekk” yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya sejak kecil lagi dan tinggal dengan ibu saudaranya, tetap menunaikan janji kepada keluarga budak-budak itu untuk menjaga anak-anak mereka sepanjang berdepan bahaya dalam gua bawah tanah itu.
“Saya berjanji akan menjaga budak-budak itu sebaik mungkin. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan yang diberi,” tulis Ekk dalam sepucuk surat yang begitu menyentuh perasaan, sembilan hari selepas mereka ditemui juruselam British sedang duduk di sebuah tubir disebut “Nerm Nom Sao” dalam gua berkenaan.
Surat yang juga ditulis oleh setiap seorang daripada budak-budak itu berusia antara 11 dan 15 tahun telah diserahkan kepada ibu bapa masing-masing oleh juruselam dari unit SEAL Royal Thai Navy.
Dalam suratnya, Ekk yang pernah menjadi sami Buddha sebelumnya, turut meminta maaf kepada ibu bapa budak-budak itu, kerana berasa bertanggungjawab membawa anak-anak mereka mengharungi bahaya dalam trip yang tidak dirancang ke dalam gua yang dilanda banjir itu.
Menurut laporan media, dia membawa budak-budak itu ke gua selepas latihan bola sepak, tanpa menyedari hujan lebih telah membanjiri sebahagian daripada gua itu.
Namun, ibu bapa berkenaan malah majoriti masyarakat Thai enggan meletakkan kesalahan ke atas jurulatih itu, sebaliknya menyifatkan Ekk sebagai wira sebenar hingga budak-budak itu berjaya dibawa keluar hidup-hidup dari gua berkenaan.
Ekk mengajar pemain-pemain bola sepak itu cara melakukan meditasi sebagai jalan untuk menenangkan jiwa sepanjang terperangkap di dalam gua.
“Saya tahu dia seorang yang baik,” kata Kum-aey Promthep, nenek kepada salah seorang budak-budak itu kepada media tempatan.
Keluarga lain budak-budak itu menyokong pandangan Kum-aey.
Timbalan pengarah dari kementerian keadilan Thawatchai Thaikieaw disebut oleh media tempatan sebagai berkata beliau bimbang jurulatih itu akan ditekan kemurungan sebaik keluar dari gua.
“Saya khuatir dia akan menyalahkan dirinya seorang. Ini boleh menyebabkan kekecewaan pada dirinya,” kata beliau.
Seorang pegawai polis di Balai Polis Mae Sai yang berkuasa ke atas kawasan gua Tham Luang dilaporkan berkata pihaknya sedang mempertimbang sama ada hendak mengenakan dakwaan terhadap jurulatih itu kerana membawa budak-budak itu ke dalam gua.
“Saya enggan menjawab isu itu ketika ini. Kami perlu menilai dulu perkara ini dengan hati-hati,” kata ketuanya Kol Komsan Saard-an.
Manakala pemimpin dunia mengucapkan tahniah atas kejayaan misi menyelamatkan 13 pemain muda pasukan bola sepak “Mu Pa” dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai selama 17 hari .
Lima mangsa terakhir dibawa keluar dengan selamat oleh pasukan penyelamat malam ini selepas lapan rakan mereka dikeluarkan dari gua yang ditenggelami air itu dalam misi yang penuh berisiko pada Ahad dan semalam.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataan segera menerusi laman twitter beliau @realDonaldTrump mengucapkan tahniah atasa kejayaan itu.
“Bagi pihak Amerika Syarikat, tahniah diucapkan kepada Unit SEAL Tentera Laut Thailand dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menyelamatkan 12 remaja lelaki dan jurulatih mereka dari gua yang berbahaya di Thailand itu. Detik paling indah – semua berjaya diselamatkan, misi paling cemerlang!,” kata beliau.
Markas Pasifik Amerika Syarikat (PACOM) menghantar pasukan pakar ke gua Tham Luang untuk membantu pasukan penyelamat Thailand dalam operasi menyelamat.
Perdana Menteri Britain Theresa May juga melahirkan kegembiraan atas kejayaan di Chiang Rai sambil berkata menerusi catatan dalam laman twitter beliau @Theresa_May bahawa, “Dunia sedang memerhatikan dan menyanjung keberanian semua mereka yang terlibat.”
Pakar-pakar gua dari Britain telah memainkan peranan penting sepanjang misi menyelamat dan meruipakan pasukan penyelamat pertama menemukan kumpulan remaja itu dan jurulatih mereka dalam gua sembilan hari selepas mereka hilang dalam kompleks gua yang ditenggelami air.
Selain pakar-pakar dari Amerika Syarikat dan Britain, pasukan penyelamat dari negara-negara lain iaitu Myanmar, Laos, Filipina, Jepun, China dan Australia turut menyertai misi yang berisiko itu, mencerminkan bahawa operasi itu benar-benar bersifat multinasional.
Sementara itu, pasukan bola sepak England, Kelab Bola Sepak Manchester United atau lebih dikenali di seluruh dunia sebagai “Red Devils” juga berasa lega kerana mangsa terakhir dari pasukan bola sepak Mu Pa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari gua hari ini.
Pasukan itu dalam satu kenyataan menerusi laman twitter juga menyampaikan jemputan kepada 13 pemain remaja itu dan jurulatih mereka ke Stadium Old Trafford.
“Kam ingin menjemput pasukan dari Kelab Bola Sepak Ma Pu dan anggota penyelamat ke Old Trafford pada musim akan datang ini,” kata pasukan itu.
Melalui jemputan itu, Manchester United menjadi organisasi bola sepak yang kedua selepas FIFA yang juga menjemput pasukan itu dan jurulatih mereka menyaksikan Final Piala Dunia 2018 di Stadium Luzhniki di Moscow pada 15 Julai.
Pasukan itu mungkin terlepas peluang untuk ke Piala Dunia kerana mereka ini menerima rawatan selepas mengharungi pengalaman yang getir itu.
– Bernama