Ads
Home Berita Prihatin Terhadap Iqram Dinzly, Mufti Wilayah Persekutuan Utuskan Surat Terbuka Untuknya Di...

Prihatin Terhadap Iqram Dinzly, Mufti Wilayah Persekutuan Utuskan Surat Terbuka Untuknya Di Facebook

Ads

Sejak kebelakangan ini, nama Iqram Dinzly sentiasa menjadi sebutan para netizen di laman media sosial terutamanya di Instagram, Facebook dan Twitter. Ramai peminat, rakan artis serta masyarakat amnya cukup risau dengan apa yang dilihat mereka mungkin petanda Ikram Dinzly berdepan masalah kemurungan.

Apatah lagi golongan remaja di laman sosial kini sedang sibuk membicarakan tentang kesihatan mental, stres serta kemurungan melampau yang dilihat menjadi ancaman terutama kepada generasi muda. Masih panas dengan kisah kematian Jonghyun SHINEE yang mati bunuh diri akibat kemurungan yang tular baru-baru ini, jadi tidak hairanlah ramai yang risau dengan Iqram Dinzly.

Rentetan video live yang dikongsikan olehnya di Instagram membuatkan ramai tertanya-tanya adakah Iqram berdepan dengan masalah kemurungan. Dan Remaja cukup berbangga kerana ramai pihak terutama dari rakan artis, media serta masyarakat umumnya memberikan kata-kata semangat positif kepadanya.

Prihatin Terhadap Iqram Dinzly, Mufti Wilayah Persekutuan Utuskan Surat Terbuka Untuknya Di Facebook

Pada hari ini pula, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut melahirkan rasa prihatinnya. Menerusi laman Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli telah menulis surat terbuka kepada Iqram Dinzly.

Menerusi surat terbuka tersebut beliau pada mulanya melahirkan ucapan takziah buat keluarga Iqram yang kehilangan ayahnya baru-baru ini. Ia diikuti dengan nasihat untuk Iqram agar mengabaikan kata-kata cemuhan dan makian daripada netizen dan sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran.

Ads

Pada pengkakhiran surat tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan turut berbesar hati menjemput Iqram Dinzly hadir menemuinya di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk bertemu dan mengenali lebih lanjut serta bertukar-tukar pandangan, pendapat serta bersedia mendengar apa jua keluhan.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Mufti Wliayah Persekutuan terhadap Iqram Dinzly cukup menyentuh perasaan kami di Remaja. Sebagai antara ikon institusi agama, keterbukaan ini membuatkan golongan muda akan berada lebih dekat. Kepada rakan-rakan Remaja yang berdepan dengan apa jua masalah kemurungan, janganlah segan untuk dapatkanlah bantuan. Dan jika kamu sebagai kawan mendapati ada rakan yang berdepan masalah janganlah menjauhi mereka.

Berikut merupakan surat terbuka penuh yang dipetik dari Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

SURAT TERBUKA KEPADA SAUDARA IQRAM DINZLY

Ads

السَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam perkenalan kepada saudara yang kami kasihi, Iqram Dinzly.

Baru-baru ini kami terbaca laporan akhbar, juga kisah-kisah di media sosial berkenaan kehidupan saudara kini. Pertamanya, kami ingin ucapkan takziah atas pemergian papa tercinta, almarhum Muhammad Saipuddin Ahmad Said. Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh. Kami percaya, saudara Iqram dan mama, amat tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi

Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar. Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara. Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.

Ads

Dalam pada itu, kami nasihatkan saudara supaya mendekati al-Qur’an, begitu juga zikir-zikir. Kami ada menonton beberapa LV saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanyasanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang.
Akhir kalam, kami menjemput saudara Iqram untuk hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain, juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan saudara. Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan. Boleh hubungi kami melalui Twitter @drzul_albakri atau Instagram @drzulkifli.albakri

Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Rabu, 27 Disember 2017 bersamaan 8 Rabi’ul Akhir 1439H
3.08 petang.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI