Drama siri yang pernah menjadi fenomena di Malaysia, Projek: Achor SPM telah dinobatkan sebagai Siri Drama Terbaik dalam Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2021 sebentar tadi.
Kemenangan ini pastinya memberi kenangan manis buat Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar yang merupakan antara pelakon utama dalam siri tersebut. Tidak dinafikan nama Nadhir semakin meningkat naik selepas kejayaannya membawa watak Hilmi yang menjadi sebutan para peminat drama tempatan.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya tidak menyangka bahawa drama Projek: Anchor SPM ini berjaya menggondol anugerah di Asian Academy Creative Awards, di mana ia mengumpulkan karya-karya seni dari seluruh negara Asia. Bagi saya, ia adalah satu kejayaan apabila negara-negara luar boleh melihat bakat-bakat yang ada di Malaysia, seperti pelakon, pengarah, penerbit dan tenaga produksi yang telah bertungkus-lumus menjayakan siri ini,”
“Pengalaman membintangi drama ini adalah satu momen yang paling saya hargai, apabila dapat bekerja dengan semua barisan pelakon yang terlibat serta menimba ilmu dengan tenaga kerja yang lain. Sebelum masuk ke set penggambaran lagi, pengarah drama ini telah mengingatkan kami tentang visi dan misi yang ingin dicapai, antaranya adalah menjadikan Projek: Anchor SPM sebagai sebuah drama yang mendapat perhatian ramai,”
“Alhamdulilah, hasil kerja keras kami akhirnya membuahkan hasil apabila ia mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton dan kini, berjaya meraih anugerah Siri Drama Terbaik di peringkat Asia,” luah Nadhir.
Membariskan wajah-wajah pelakon muda seperti Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul dan Chubb-e, siri ini juga berjaya mengalahkan drama popular Korea, Move to Heaven dan beberapa calon lain seperti Maya’s World dari Indonesia dan Hungry Ghosts dari Australia.
“Ini adalah satu penghargaan buat seluruh warga kerja Projek: Anchor SPM dan sejujurnya untuk berada sebaris dengan calon seperti drama Korea Move To Heaven, ia adalah satu penanda aras yang menunjukkan drama tempatan kita juga mempunyai kehebatannya tersendiri sehingga orang luar dapat mengiktiraf hasil kerja kita,”
“Saya percaya dengan kejayaan ini juga, sedikti sebanyak dapat mengikis tohmahan yang mengelarkan drama tempatan kita ini tidak berkualiti, sebaliknya jika diberikan sokongan yang kuat, kita mampu menempatkan diri ke peringkat yang lebih jauh,” tambah Nadhir lagi.
Projek: Anchor SPM menceritakan tentang sekumpulan pelajar sekolah Menengah yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia diangkat daripada kisah-kisah pengalaman pelajar ketika menduduki peperiksaan besar.
Bukan sahaja mendapat kadar rating yang tinggi, peminat drama siri ini juga pernah mendesak untuk disambung bagi musim yang kedua.
Tahun ini juga menyaksikan kilauan bakat-bakat baharu dalam industri hiburan tempatan dan ini dibuktikan apabila ramai finalis Hero Remaja dan Dewi Remaja turut tercalon dalam kategori Artis Baharu Popular.
BACA: Famili Hero Remaja & Dewi Remaja Beri Saingan Undian Awal ABPBH-34
“Saya ingin mengucapkan tahniah buat 20 calon bagi kategori ini, termasuklah rakan-rakan seperjuangan dalam Hero Remaja iaitu Meerqeen, Hariz, Aniq dan Nabil Aqil. Sejujurnya saya tidak menyangka akan dicalonkan kerana pengalaman yang baru setahun jagung,”
“Namun, saya berbesar hati dengan peluang ini dan berterima kasih buat semua penyokong yang tidak pernah penat untuk menyokong kerjaya saya. Sama ada menang atau tidak, ia terpulang kepada rezeki. Saya percaya rezeki itu tidak pernah salah alamat,” tambahnya lagi.
Apa-apa pun kami ucapkan tahniah buat Nadhir Nasar atas pencapaiannya dan selamat maju jaya untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian nanti. Korang masih boleh mengundi finalis sehingga 3 Oktober ini sebelum disenarai pendek ke peringkat akhir top 5.