“Promosi Tarik Pengunjung” Zoo Melaka Tawar Promosi Tiket & Semua Umur Boleh Masuk!

Share

Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mulai hari ini semua dibenarkan merentas negeri sekali gus melancong di dalam negara.

Rakyat Malaysia akan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran bakal diberikan. Tidak ketinggalan Zoo Melaka yang membenarkan seramai 500 orang pengunjung pada setiap sesi sepanjang tempoh PKPP yang bermula hari ini.

Pembukaan ini selari dengan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersetuju membenarkan semua zoo beroperasi sepanjang tempoh PKPP iaitu mulai 10 Jun 2020.

Bahagi Kepada 2 Sesi

Selain meminimakan jumlah pengunjung, waktu lawatan juga telah disusun mengikut jadual iaitu sesi pagi dan petang manakala waktu tengah hari ia akan ditutup selama 2 jam bagi tujuan pembersihan, sanitasi dan nyahkuman.

Pengunjung boleh membuat lawatan pada 2 sesi berikut:

Sesi pertama dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari (tiket terakhir dijual pada jam 12 tengah hari)
Sesi kedua dari 2 petang hingga 5 petang (tiket terakhir dijual pada jam 5 petang)

Promosi Tiket

Bagi pembelian tiket, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan beratur namun kesemua maklumat nama dan nombor telefon ahli keluarga perlu dimasukkan ke dalam rekod pengesanan pelanggan yang diletakkan di kaunter Zoo.

Sepanjang tempoh PKPP, Zoo Melaka menawarkan harga ‘durian runtuh’ kepada orang ramai iaitu RM10 untuk dewasa, manakala RM5 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).


“Macam-macam yang kita rancangkan termasuk mewujudkan ‘petting zone’, sesi bergambar dengan haiwan, pemberian makanan secara percuma kepada haiwan, bertemu maskot pada hujung minggu dan banyak lagi,” kata Pengarah Zoo Melaka dan Taman Burung, Zanariah Khamis.

Menurutnya, setakat ini melalui ‘Tabung Sumbangan Zoo Melaka’ yang dilancarkan April lalu, Zoo Melaka berjaya mengumpul dana berjumlah RM94,000, manakala sumbangan makanan yang diterima bernilai RM250,000.

Alhamdulillah , seronoklah semua boleh pergi Zoo Melaka nanti. Tapi pastikan jaga jarak dan sentiasa utamakan kebersihan ya!

*Untuk maklumat lanjut, lawati Facebook Rasmi Zoo Melaka

Published by
Ruziana Zainal