Bagi yang study law, mesti teruja!
Yalah, bukan mudah nak saksikan siaran secara langsung dalam kamar mahkamah tambah-tambah kita nie student law tahun satu.
Kalau student law teruja, bagaimana dengan kita sebagai orang awam?
Mungkin kita tak terfikir pun nak masuk mahkamah kecualilah kita kena dakwa, ada ahli keluarga didakwa dan lain-lain hal.
Namun disebabkan Perintah Dalam Kawalan (PKP), rakyat Malaysia buat pertama kalinya dapat menyaksikan prosiding mahkamah secara langsung hari ini. Ia sekaligus mencatat sejarah kali pertama badan kehakiman kita bersidang secara langsung yang dapat disaksikan oleh orang ramai tanpa halangan.
Memetik laporan Astro Awani, Badan Kehakiman Negara hari ini mencatatkan sejarah apabila buat kali pertama menyiarkan secara langsung prosiding kes Mahkamah Rayuan secara dalam talian.
Prosiding rayuan yang bermula sekitar jam 10 pagi itu disiarkan secara langsung di laman web Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dan saluran Youtube rasmi Badan Kehakiman Malaysia.
Pendengaran rayuan itu membabitkan tiga perayu iaitu Zhoa Fangliang, Jin Haifang dan Zhu Cunhua terhadap Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd.
Perayu diwakili Tetuan K. F. Ee & Co manakala responden pula diwakili Tetuan Othman Hashim & Co.
Prosiding tersebut dikendalikan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Kamardin Hashim, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Azizah Nawawi.
Pada permulaan prosiding, Kamardin mengemukakan asas prosiding selain mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak supaya ia disiarkan secara dalam talian.
Ia bertujuan supaya tidak timbul hujah berkaitan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang belum dipinda untuk membolehkan siaran langsung prosiding dilakukan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia sebelum ini memaklumkan langkah itu bagi membolehkan orang awam melihat secara langsung pendengaran kes yang dijalankan seperti di mahkamah terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan.
Ia seiring situasi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan sekali gus memerlukan Badan Kehakiman Malaysia menjalankan pendengaran kes-kes tertentu secara dalam talian.
Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, mahkamah masih boleh mendengar permohonan reman, pendakwaan kes baharu, permohonan kes jenayah, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.
Apa pun Salam Ramadan buat u all semua!