
Pendakwah selebriti, PU Azman, telah dijatuhi hukuman penjara tambahan selama 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini atas kesalahan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki, dua tahun lalu.
Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhkan hukuman tersebut selepas PU Azman mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. Hukuman penjara tersebut bermula hari ini.
Terdahulu, PU Azman telah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 September lalu setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN : Apa Kena-Mengena Caprice Dalam Skandal Amang Seksual PU Azman Dengan Remaja Lelaki?

Menurut pertuduhan tambahan, PU Azman yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Man, didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, pada pukul 9.15 malam, 10 Jun 2022. Perbuatan ini dilakukan di bawah Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Dalam rayuannya, peguam Fahmi Adilah memaklumkan bahawa anak guamnya, yang merupakan seorang duda, telah insaf dan menyesal atas perbuatannya. Fahmi juga menambah bahawa PU Azman berjanji untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna di masa hadapan.
“Anak guam juga memohon maaf kepada pengadu terlibat, kerajaan Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia dan mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung.

“Pengakuan salah ini didorong oleh faktor keinsafan tertuduh. Justeru, dengan rendah diri, kami berharap mahkamah memberikan hukuman yang minimum,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, dalam hujahannya, menegaskan bahawa sebagai seorang pendakwah selebriti, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku terhadap pengadu.
“Pengakuan salah bukanlah alasan untuk memberikan diskaun dalam hukuman kepada tertuduh. Keseriusan kesalahan ini dan kepentingan awam perlu diambil kira,” ujar Rasyidah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
Saudara Kembar Anas Dan Amir Harumkan Nama Negara! Menang Anugerah Emas Dalam Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024

Baru-baru ini, saudara kembar yang juga pelajar tingkatan 2 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024.
Mereka berdua membuat keputusan menyertai pertandingan esei itu semasa berkunjung ke London untuk menemui kakak mereka, Sofea Arisya Muhammad Shaifuddin yang kini merupakan pelajar tahun tiga Wharton Business School, University of Pennsylvania, dan berjaya menghasilkan esei yang diperlukan walaupun dalam masa yang terhad dan singkat.
Dalam pada itu, saudara kembar ini meluahkan rasa girang serta syukur di atas kejayaan yang diraih dan berkongsi persediaan rapi yang mereka lakukan untuk pertandingan esei berkenaan.
“Memenangi anugerah ini memberi motivasi untuk kami meneruskan usaha mencari cara baru untuk melahirkan pandangan kami menerusi penulisan”
Mereka berkata dalam satu kenyataan dihantar kepada Bernama, sebelum kejayaan ini, Anas dan Amir pernah menyertai peraduan esei yang lain, tetapi penyertaan untuk Queen’s Commonwealth Essay Competition, adalah yang pertama.
Selain itu, esei mereka turut memberi tumpuan kepada tema nilai kekeluargaan, perpaduan dan warisan budaya, ternyata paling unggul dalam kalangan ribuan esei yang diterima oleh pihak penganjur.
Esei Anas, bertajuk ‘A Culinary Journey with Tok and Me’, memberi peluang kepada pembaca untuk berkongsi pengalamannya mempelajari cara memasak makanan tradisional Malaysia daripada neneknya (Tok).
“Nak buat kuih yang sedap mesti ada rasa kasih dalam setiap langkah membuat kuih itu’,” nenek Anas memberitahunya.
Menurut Anas, pesanan neneknya itu mengajar dirinya kepentingan bersabar, daya kreatif serta nilai menyatukan komuniti menerusi makanan.
Sementara itu, esei Amir yang berjudul ‘A Malaysian Tale of Family and Unity’, menekankan kepentingan perhimpunan keluarga sewaktu musim perayaan seperti hari raya.
Amir menggambarkan suasana meriah, berkongsi makanan dan tradisi yang mengeratkan lagi jalinan silaturrahim sesama anggota keluarga, di samping nilai-nilai berkenaan penting memupuk perpaduan dalam Komanwel.
“Bagi saya, tradisi ini adalah simbol kekuatan dan perpaduan, nilai yang saya percaya boleh menyatukan semua dalam Komanwel,” ujarnya.
Tema Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024, berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan, hospitaliti, kerjasama, hormat-menghormati serta maruah serta konsep yang digunakan oleh Anas dan Amir untuk esei mereka.
Pada masa yang sama, saudara kembar ini juga menyatakan penghargaan kepada guru bahasa Inggeris mereka, Sir Qassim dan En Ng atas bimbingan serta galakan yang diberikan untuk mereka berkarya sebagai penulis muda.
Mereka juga melahirkan harapan esei yang dihasilkan itu akan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencuba kuasa penceritaaan serta menjadikan nilai-nilai seperti perikemanusiaan dan saling hormat-menghormati, malar segar, dalam evolusi dunia yang kian pesat.
Sumber Artikel & Foto: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Dia Sangat Hargai Guru” Lelaki OKU Mental Pernah Jadi Pelajar Terbaik SPM 1995 Terengganu & Pelajar Sains Sukan UPM

Baru-baru ini, kisah menyayat hati seorang lelaki orang kurang upaya mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh (47) yang dipukul beramai-ramai tanpa belas kasihan terus menjadi perhatian masyarakat.
Bak kata orang, jika kita berkelakuan baik, sudah pasti ramai yang sayang dan selepas kesnya tular, semakin ramai orang yang mengenalinya tampil berkongsi kisah-kisah positif Faizan di media sosial.
Menerusi salah satu perkongsian di Facebook, seorang pengguna bernama Lutfi Lokman, menceritakan bahawa Faizan merupakan bekas pelajar ibunya dan merupakan seorang yang rapat dengan guru-guru serta sangat dikenali sebagai seorang yang amat menghargai para pendidiknya.

“OKU yang kena pukul tu adalah anak murid mak saya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek yang juga super senior saya”
“Beliau antara best student suatu masa dahulu dan sangat rapat dengan emak. Beliau selalu datang dan luahkan perasaan, bercerita tentang ketidakwarasan, masalah peribadi beliau”
“Emak cuba menasihati dan berpesan tentang kebaikan dan jaga diri yang kadang-kadang memang tidak dapat dikawal,” katanya.
Selain itu, Lutfi juga mendedahkan Faizan pernah menitip niat akan menjadi orang terakhir meninggalkan pusara jika gurunya meninggal dunia.
“Beliau pernah datang ke rumah saya di Kuala Nerus dengan mengayuh basikal dari Kemaman yang jaraknya beratus kilometer semata-mata ingin bertemu dengan emak dan cikgu-cikgu lain”

“Rapatnya beliau dengan keluarga kami sampai boleh datang rumah, makan nasi dan berbaring di ruang tamu hingga senja berlabuh. Kemudian pulang di rumah saudaranya di sekitar Manir jika tidak silap,” ujarnya lagi.
“Antara kata-kata beliau yang mengesankan emak adalah ‘Cikgu, saya sayang cikgu. Cikgu pesan ke anak cikgu, kalau cikgu mati nanti, minta mereka beritahu saya dan saya akan datang ke kubur cikgu untuk menjadi orang terakhir meninggalkan cikgu di sana. Cikgu jangan bimbang. Saya teman cikgu’. Mengalir air mata emak bercerita tentang itu,” jelas Lutfi.
Susulan kejadian yang berlaku tempoh hari, Lutfi mengakui keluarganya terkejut dan mendoakan agar Faizan diberi kesembuhan segera.
“Beberapa hari lepas, kami sekeluarga terkejut melihat beliau dipukul tanpa belas kasihan di sebuah pasar di Kemaman. Apa sekalipun kesilapan beliau, kami harapkan semoga ada jalan penyelesaian dan perbicaraan yang waras oleh kita,” tambah Lutfi.
“Semoga Paijang diberikan kesembuhan dan kebaikan atas segala kebaikan yang telah dibuat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna di TikTok, Akbar Azmi juga tampil mengaku sebagai kawan baik Faizan atau lebih mesra disapa Paijang.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik, Akbar mendedahkan lelaki itu merupakan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1995 Negeri Terengganu.
“Masa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1995, Paijang bukan setakat pelajar cemerlang SMKA Sheikh Abdul Malek sahaja tetapi dinobatkan sebagai pelajar cemerlang negeri Terengganu”
“Selepas SPM kebiasaannya kita akan mohon Unit Pusat Universiti untuk melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya. Namun sewaktu panggilan pertama, dia tak dapat sambung belajar”
“Jadi, ketika panggilan kedua atau ketiga baru dapat masuk matrikulasi di Kuala Lumpur,” katanya.
Watch on TikTok
Walau bagaimanapun, Akbar mendakwa kegagalan panggilan pertama untuk melanjutkan pelajaran telah menyebabkan Ahmad Nor mengalami kemurungan.
“Saya rasalah mungkin disebabkan peristiwa tersebut, macam kitalah kalau pelajar terbaik mesti akan rasa dapat belajar tempat yang terbaik tapi bila kita diuji panggilan pertama tu tak boleh pergi mana-mana… hmm”
“Paijang berasal dari keluarga yang susah, dia rasa bertanggungjawab untuk memperbaiki ekonomi keluarga jadi dia termasuk ke dalam kemurungan,” jelasnya.
Simpati dengan nasib rakannya, Akbar memohon warga internet agar terus memberi sokongan kepada Paijang selain berharap keadilan akan memihak kepada sahabatnya kelak.
“Saya sebagai salah seorang kawan baiknya menyeru kepada semua orang untuk menyokong Paijang ni walaupun mungkin dia tak akan seratus peratus kembali normal tapi sekurang-kurangnya kita sokong dia,” tambahnya lagi.

Selain itu, menerusi laporan portal berita tempatan, lelaki OKU tular itu aktif sukan hoki sejak di bangku sekolah rendah dan pernah mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA).
Menurut adiknya,Ahmad Syahmi Jusoh, berkata abangnya beraksi di posisi sayap kiri dan pasukan hoki SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu di peringkat daerah dan negeri.
“Dia ada cita-cita untuk main kebangsaan tapi tidak kesampaian. Lagi pun dia dah berhenti main hoki semasa di matrikulasi dan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM), abang sudah tidak aktif bermain hoki,” katanya.
Bagaimanapun, nasib Faizan berubah ketika menuntut di UPM apabila dia terpaksa berhenti lebih awal susulan didiagnosis masalah mental akibat tekanan belajar.
Terdahulu, lelaki ketidakupayaan mental itu dipukul beramai-ramai selepas dikatakan terlanggar salah satu gerai penjaja di sebuah pasar tani Padang Astaka di Chukai, Kemaman, Terengganu pada Jumaat.
Video yang memaparkan kejadian berdurasi 1 minit 52 saat bertebaran di laman sosial menyaksikannya dibelasah, disepak, dipijak dan diheret di tapak pasar tani. Setakat ini enam individu ditahan berhubung siasatan kes berkenaan.
Keeenam-enam mereka yang berusia antara 18 hingga 60 tahun manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Pihak keluarga kini sedang menunggu perkembangan pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) susulan kecederaan akibat dipukul oleh empat individu.
Sumber: Sinarplus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Pempengaruh Digital, Ammar Nazhan dan Hafizul Haiman Mengaku Tak Bersalah Gaduh Di Restoran

Dua pempengaruh dan pencipta kandungan digital popular serta empat rakannya didakwa hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan terlibat dalam pergaduhan selepas satu perlawanan tinju, 25 Februari lalu.
Tertuduh Ammar Mohd Nazhan, 29 dan Muhammaf Hafizul Haiman, 23 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.


Bagaimanapun, empat lagi orang tertuduh iaitu Abdul Rahim Abd Hakim, 23; Muhammad Ady Putra, 18; Muhammaf Ali Mubarak Baharuddin Selamet, 28 dan Jebat Zulfar Nurfakrullah Abd Ghapor, 24 mengaku bersalah.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar di Lalaport Bukit Bintang pada 10.15 malam selepas perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial.
Pihak polis kemudian menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 12.45 malam sebelum polis menahan 11 lelaki tempatan berusia 17 hingga 28 tahun.
“Kedua-Dua Anak Guam Saya Hanya Memperoleh Pendapatkan Sebanyak RM2,000 Sahaja Sebulan…”
Mereka didakwa di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh awalnya mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 ke atas Ammar Mohd Nazhan dan Muhammadd Hafizul Haiman serta hukuman yang setimpal kepada empat tertuduh lain.
Namun, peguambela K.Ramalingam yang mewakili dua pempengaruh itu memohon kepada mahkamah satu bon jaminan yang minimum bagi mereka.
Katanya, kedua-dua pempengaruh itu yang bekerja sebagai pencipta kandungan (content creator) hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 sahaja sebulan.
Sementara itu, empat tertuduh lain juga merayu agar mahkamah mengenakan denda minimum terhadap mereka atas alasan perlu menanggung ahli keluarga.
Justeru, Mahkamah membenarkan dua pempengaruh itu diikat jamin sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin manakala empat tertuduh lain didenda sebanyak RM500 atau satu bulan penjara jika gagal membayarnya.
Sebagai rekod, Ammar Nazhan bersama-sama rakannya, Aras pada awal Februari lalu terpalit dalam kontroversi memalsukan kehilangan seorang pempengaruh gadis Malaysia di sebuah hutan di Bandung, Indonesia sebagai bahan kandungan media sosial berunsur aktiviti paranormal.
Mereka kemudian membuat permohonan maaf dengan menzahirkan rasa kesal kerana telah menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak termasuklah dalam kalangan warganegara Indonesia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.