Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhkan hukuman tersebut selepas PU Azman mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. Hukuman penjara tersebut bermula hari ini.
Terdahulu, PU Azman telah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 September lalu setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN : Apa Kena-Mengena Caprice Dalam Skandal Amang Seksual PU Azman Dengan Remaja Lelaki?
Menurut pertuduhan tambahan, PU Azman yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Man, didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, pada pukul 9.15 malam, 10 Jun 2022. Perbuatan ini dilakukan di bawah Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Dalam rayuannya, peguam Fahmi Adilah memaklumkan bahawa anak guamnya, yang merupakan seorang duda, telah insaf dan menyesal atas perbuatannya. Fahmi juga menambah bahawa PU Azman berjanji untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna di masa hadapan.
“Anak guam juga memohon maaf kepada pengadu terlibat, kerajaan Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia dan mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung.
“Pengakuan salah ini didorong oleh faktor keinsafan tertuduh. Justeru, dengan rendah diri, kami berharap mahkamah memberikan hukuman yang minimum,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, dalam hujahannya, menegaskan bahawa sebagai seorang pendakwah selebriti, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku terhadap pengadu.
“Pengakuan salah bukanlah alasan untuk memberikan diskaun dalam hukuman kepada tertuduh. Keseriusan kesalahan ini dan kepentingan awam perlu diambil kira,” ujar Rasyidah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.