Puasa Isra’ Mikraj Tidak Termasuk Sebagai Puasa Sunat Yang Dituntut

Share

Ramai yang berkongsi informasi tentang peristiwa Isra’ Mikraj dan disunatkan untuk berpuasa bagi mendapatkan ganjaran pahala yang besar. Dikatakan siapa yang berpuasa pada 27 Rejab akan mendapat pahala seperti berpuasa selama 60 hari.

Namun begitu, persoalan ini pernah dinyatakan di dalam laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan bagi menjelaskan kesahihannya.

Terdapat satu soalan yang bertanyakan apakah hukum dan fadilat puasa sunat 27 Rejab sempena Isra’ Mikraj?

Dan jawapan yang diberikan adalah seperti berikut..

Sebarang bentuk, puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut. Kami kemukakan di sini dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/114-117) berkenaan dengan puasa sunat yang terdapat dalam Islam.

Foto: Suara Islam

Antara jenis puasa sunat adalah seperti:

Puasa pada Hari Arafah

Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Qatadah RA katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim:1162)

Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.” (Riwayat Muslim:1338)

Puasa pada hari Asyura’ dan Tasu’aa’

Asyura’ adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.” (Riwayat al-Bukhrari: 1900 dan Muslim: 1130)

Hadis yang lain pula, daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura’. Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim: 1162)

Foto: kaltimtoday

Puasa pada hari Isnin dan Khamis

Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ الرَّسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat al-Tirmizi: 745)

Hadis seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Tirmizi: 747)

Puasa selama tiga hari pada setiap bulan

Hari yang afdal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” (Riwayat al-Bukhari: 1124 dan Muslim: 721)

Hadis yang lain pula, daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Riwayat al-Tirmizi: 761)

Puasa selama enam hari pada bulan Syawal

Cara yang afdal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim: 1164)

Jadi, dijelaskan bahawa dalil-dalil yang dikemukakan tidak menganggap puasa 27 Rejab termasuk dalam puasa-puasa sunat yang dituntut kecuali ia berlaku pada hari Isnin atau Khamis. Begitu juga sebagaimana yang dibahaskan bahawa penentuan Isra’ Mikraj pada 27 Rejab juga menjadi khilaf dikalangan ulamak tarikh.

Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat. Wallahualam!

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Noor Ain Norman