Puasalah Pada Hari Arafah, Dosa Kita Akan Diampunkan Setahun Lalu & Akan Datang

Share

Beberapa hari lagi, kita akan menyambut Hari Raya Haji. Bagi negeri di Pantai Timur, sambutan hari raya haji disambut  meriah. Malah sehari sebelum tibanya hari raya korban itu, bagi jemaah yang berpeluang menunaikan fardu haji, tarikh 9 Zulhijjah (bersamaan hari Sabtu 10 hb Ogos) amat penting buat mereka.

9 Zulhijjah yang juga disebut hari wukuf adalah tarikh penting kerana semua termasuk jemaah yang uzur akan dibawa ke Padang Arafah untuk melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah.

Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia dengan bahang terik mentari di Padang Arafah, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredhaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Sebab itulah dalam apa jua keadaan pun, setiap jemaah yang keuzuran akan dibawa juga ke Padang Arafah dan jika tidak ibadah haji itu tidak lengkap sepenuhnya dan perlu mengulanginya semula. Malah ia juga adalah penanda berakhirnya musim haji selesai wukuf di Padang Arafah.

Sesuatu yang harus difahami, bagi yang tidak berkesempatan atau belum berpeluang menunaikan haji, 9 Zulhijjah itu tidak harus dipandang enteng atau mudah kerana kita digalakkan untuk berpuasa sunat Arafah selain berdoa kepada Allah kerana dikatakan doa lebih makbul pada hari wukuf ini.

Wukuf di Padang Arafah antara syarat rukun sah haji. Ia umpama manusia dikumpulkan ketika di hari pembalasan kelak

Jika seseorang itu berpuasa di Hari Arafah, berdasarkan sabda Rasulullah SAW.

“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).

Menurut Najiq Masjid Al Khadijiah, Ustaz Shahril bin Abd Samad ketika dihubungi, umat islam digalakkan berpuasa pada hari tersebut bersandarkan hadis sohih Riwayat Muslim.

“Berpuasa pada hari Arafah itu boleh menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa yang akan datang.

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

Jelas Ustaz Shahril lagi, sesiapa yang memilih berpuasa pada Hari Arafah ini adalah satu tanda nikmat Allah kurniakan buat semua hamba-hambaNya.

“Mungkin ramai yang tidak menyedarinya atau masih belum bersedia, namun seandainya kita terus diberi kesempatan usia dan kesihatan, adalah sebaik-baiknya kita berpuasa pada hari Arafah.

“Bersandarkan hadis ini, ia menghapuskan dosa kita setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ternyata rahmat Allah itu cukup besar buat umatNya,”katanya lagi.

Dalam pada itu, jelas Ustaz Shahril, umat islam disarankan berdoa dan memintalah seberapa banyak dan insya Allah, setiap doa-doa itu diterima Allah taala,’ katanya lagi.

“Di hari Arafah ini selain berdoa meminta yang baik-baik untuk diri, ahli keluarga, orang yang kita sayang, muslimin dan muslimat di seluruh dunia, kita juga disunatkan membuat 12 perkara pada hari Arafah ini.

Antaranya bangun awal pagi, tahajud, solat taubat, solat subuh berjemaah, berzikir dan berdoa, mengeratkan ukhwah dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Shahril menjelaskan, Padang Arafah adalah tempat pertama Nabi Adam dan Hawa dipertemukan kembali selepas kedua-duanya dikeluarkan dari syurga Allah.

“Arafah dari sudut lain membawa maksud mimpi. Ia berkaitan dengan mimpi Nabi Ibrahim yang disuruh menyembelih anaknya Nabi Ismail yang kemudian menjadi ibadah korban yang kita raikan sehingga kini,” katanya lagi.

Insya Allah kalau hari tersebut kita tiada kesempatan dan jika usia dilanjutkan ke tahun hadapan, jangan lupa berpuasa dan berdoa ya. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada bersama kita semua sehingga ke hari akhirat.

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros