Pulang Semula Koleksi Berharga Di AS, Hard Rock Cafe Jakarta Bakal Ditutup 31 Mac Ini Selepas 3 Dekad Operasi

Share

Selepas tiga dekad beroperasi dan disulami dengan pelbagai detik terindah bersama pemuzik tempatan dan antarabangsa, Hard Rock Cafe Jakarta akan ditutup secara rasmi bermula 31 Mac depan.

Menurut laporan Suara.com, Pengarah Urusannya, Agaverus Hutagalung berkata, rangkaian kafe dan bar bertemakan rock n roll selain terkenal sebagai lokasi yang menyimpan koleksi peribadi milik pemuzik terkenal seluruh dunia itu ditutup kerana tidak melanjutkan tempoh sewa.

ARTIKEL BERKAITAN: Paras Air Laut Lagi Tinggi Dari Darat, Jakarta Dijangka ‘Karam’ 2023?

“Saya ingin jelaskan tiada perselisihan faham. Isunya adalah soal sewa sebab sudah 10 tahun berada di sini dan kontrak juga sudah habis.

“Jika kita sambung sewa akan berlaku kendikan serta segala kos lain yang perlu ditanggung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Agaverus turut memaklumkan, pihaknya cukup terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 yang berlaku sejak tiga tahun lalu.

“Kita terus terang berdasarkan keadaan kewangan agak berat untuk kita melanjutkan operasi ini. Jadi kita memilih untuk menutup operasi,” katanya.

Selain itu, menurutnya lagi terdapat beberapa barang peribadi milik pemuzik berpengaruh dunia seperti Metallica, Megadeth, Slash dari Gun n Roses yang disimpan di kafe tersebut.

“Semua barangan ini adalah milk pemuzik yang pernah membuat persembahan di Indonesia” katanya.

Selaras penutupan itu, pihak kafe akan memulangkan semula koleksi barangan berharga kepada ibu pejabat di Amerika Syarikat (AS).

“Suka atau tidak kita perlu pulangkan semula barangan itu ke ibu pejabat di Orlando, AS. Barangan peribadi itu merupakan hak milik antarabangsa dan syarat itu terpakai kepada semua cawangan kafe di seluruh dunia,” kongsinya lagi.

Menjengah di ruangan komen pada hantaran yang dimuat naik HRC Worldwide di Instagram, rata-rata warganet melontarkan pelbagai reaksi susulan penutupan kafe dan bar popular itu.

“Ia ditutup hanya kerana alasan bayar sewa mahal, jadi pasti nanti akan buka di tempat baru yang harga sewanya lebih murah. Semoga… Dalam 10 tahun operasi sudah pasti adalah kiraan dan profitnya,” komen seorang pengguna.

“HRC Jakarta pertama di Sarinah; tutup. Pindah ke EX Mall (yang sekarang dikenali PI Extension), tutup lagi. Eh, buka di Pacific Place Mall mahu tutup lagi. Lebih elok jika HRC Jakarta mempunyai tanah sendiri seperti HRC Bali,” komen juga pengguna lain.

So sad to hear that. Too much fun to remember,” tulis pengunjung tetap kafe tersebut.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Website Hard Rock Cafe Jakarta & Instagram Hard Rock Cafe Jakarta

Published by
Fath