Dalam hidup manusia, setiap amal perbuatan akan ditanda, baik atau buruk oleh Malaikat Rakib dan Atib. Sebab itulah setiap makhluk mesti tahu membezakan apa yang baik dan buruk dalam setiap perbuatannya agar kita terpelihara dan dapat memasuki syurga Allah taala.
Sebagai hamba Allah yang cukup kerdil, ada kisah yang boleh dijadikan pengajaran dalam kehidupan. Pengalaman yang dikongsi oleh seorang pengamal perubatan yang turut sering dipanggil memindahkan kubur-kubur bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya, pembinaan bangunan boleh dijadikan pengajaran.
Menurut Haji Abdul Rohman, 50-an, dia sedia berkongsi pengalamannya semasa memindahkan tanah perkuburan di sebuah kawasan di Klang/ Banting demi memberikan pengajaran kepada masyarakat.
Pada tarikh 9/8/ 2015, kongsi Haji Abdul Rohman, dia diamanahkan untuk memindahkan lebih kurang 108 kubur milik orang Islam bagi pembinaan jalan raya di kawasan terbabit bersama dua lagi pembantu yang dibawanya untuk memudahkan urusan.
Menurutnya, sebelum diberi tanggungjawab berat itu, biasanya dia sudah merasai “getaran” sekurang-kurangnya lima hari sebelum panggilan diterimanya.
“Susah untuk diceritakan secara terperinci. Biasanya saya akan diberi gambaran “keseronokan” yang bergetar-getar di dalam hati. Rasa ini lebih seronok nikmatnya berbanding semasa malam pernikahan.
“Masa yang sama, tidur malam biasanya saya sudah dinampakkan “sesuatu”bayangan seperti cahaya kemerah-merahan dan keputih-putihan. Biasanya bagi cahaya merah, saya akan dinampakkan pocong dan sebagainya,”katanya berkongsi cerita. Malah pernah juga dia tidak dapat tidur malam selepas “gagal” menemui semua tulang temulang mayat sehingga mayat itu menuntut darinya kembali.
Kata Haji Abdul Rohman, kejadian itu berlaku selepas dia memindahkan 108 kubur ke lokasi baru.
“Mungkin ada sedikit serpihan tulang yang tidak dikutip habis. Malam itu, saya bermimpi didatangi mayat yang meminta agar tulangnya dipulangkan kembali. Sampai tak tidur malam saya memikirkan hal ini. Bagaimana boleh berlaku begini. Bila mahu lelapkan, bayang itu muncul kembali.
“Esoknya saya kembali ke tanah perkuburan ini dan alhamdulillah, saya temui baki tulang miliknya. Alhamdulillah, sejak itu, saya tak ada mimpi-mimpi lagi,” katanya memulakan perbualan.
Kongsi Haji Abdul Rohman lagi, semasa di tanah perkuburan itu, dirinya dan para sahabat diberi peluang melihat kebesaran Allah taala.
“Ada satu kubur mualaf. Mayatnya masih utuh biar sudah lama dikebumikan. Begitu juga seorang isteri yang semasa semasa hidupnya hanya mengamalkan al-fatihah dalam setiap langkah dan tindakannya. Solatnya biasa-biasa saja tapi arwah bibirnya tak pernah lekang dengan bacaan al-fatihah.
“Alhamdulillah, semasa saya berbual dengan suaminya, katanya, isterinya sering membaca membaca surah itu. Jenazahnya masih elok, tulangnya masih panjang. Kain kafannya juga masih utuh,” katanya turut memaklumkan, ada satu jenazah melibatkan seorang gadis remaja yang turut utuh.
Jelas Haji Abdul Rohman, kata bapanya arwah anaknya itu meninggal akibat disihir kerana menolak cinta seorang lelaki semasa hayatnya dan ternyata, Allah memperlihatkan keagungannya di mana mayat remaja berkenaan masih utuh seperti masih baru ditanam.
Tidak hanya diperlihatkan sesuatu yang luar biasa, Haji Abdul Rohman dan pembantunya dipertontonkan jenazah seorang lelaki yang kurang seminggu meninggal dunia sudah membusuk dan tulang temulangnya sudah hancur.
“Masya Allah, bau kuburnya terlalu busuk. Baunya melekat ke semua pakaian biar saya sudah membasuh tubuh saya di lombong berhampiran. Bila ditanya-tanya kepada orang yang mengenali jenazah ini, rupanya semasa hidup lelaki ini selalu memukul isterinya dan turut panas baran. Memang arwah seorang yang suka tunjuk kuat kepada orang lain semasa hayatnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Dalam pada itu, Haji Abdul Rohman menasihati pembaca agar sentiasa berbuat baik sesama manusia kerana kita tidak tahu apa yang dihadap semasa di alam kubur dan di padang masyhar kelak.
“Syurga itu ada, neraka juga wujud. Kalau kita sentiasa berbuat kebaikan, insya Allah, Allah memberikan kebaikan juga baik semasa di alam kubur mahupun di akhirat kelak,” katanya yang cukup merendah diri.
Mengorek dan menanam kembali jenazah bukanlah satu perbuatan mudah. Kerja-kerja penggalian perlu dilakukan secara berhati-hati dan disaksikan oleh waris ahli keluarga.
“Upah juga tidak banyak, Cuma RM20 untuk satu kubur. Tapi saya puas melakukannya,”katanya yang menganggap biarlah segala perbuatannya diterima sebagai amal jariah.
Kongsi Haji Abdul Rohman lagi, tulang manusia biasanya bercahaya berbanding tulang haiwan.
“Inilah beza manusia berbanding makhluk lain yang Allah ciptakan di dunia ini. Malah seberapa lama pun seorang manusia itu meninggal dunia, di saat semua tulang temulangnya sudah hancur tetapi ada satu tulang di bahagian punggung yang tidak akan hancur sama sekali.
“Rebuslah, pangganglah tulang ini akan kekal begitu. Katanya juga, tulang di bahagian punggung inilah nanti yang akan dibawa naik ke akhirat bertemu Allah taala,”’ katanya memaklumkan selepas kubur digali dan jenazah dialihkan, biasanya kubur akan dibiarkan selama seminggu sebelum dikambus.
“Malah kita juga biasa bekerja di tengah malam di bawah sinaran bulan kerana tulang lebih mudah bersinar,” katanya mengakhiri perbualan.