Sebelum ini, REMAJA pernah berkongsi info tentang ura-ura individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 akan dibenarkan bercuti di Langkawi pada September ini.
BACA: Individu Terima Dua Dos Vaksin Dibenarkan Ke Langkawi Tidak Lama Lagi
Terbaharu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangkakan pulau-pulau peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian boleh mencapai imuniti kelompok hujung bulan ini dan dibuka semula awal bulan September akan datang.
Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataannya bagaimanapun memberitahu, perkara itu tertakluk kepada keputusan kerajaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan bagi mengelakkan berlakunya penularan COVID-19 dan menyebabkan penutupan semula dibuat.
MOTAC juga sedang mengemas kini dan menyiapkan SOP berkaitan sektor pelancongan. Untuk itu, mereka mengadakan sesi libat urus secara maya dengan 15 wakil persatuan penggiat industri pelancongan supaya golongan tersebut bersiap-sedia ke arah pembukaan sektor pelancongan terutamanya melibatkan pulau-pulau peranginan.
Antara persatuan yang terlibat dalam sesi itu ialah Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia serta Persatuan Spa Malaysia.
Diharap agar sektor pelancongan domestik kembali bersinar setelah beberapa bulan mengalami kerugian akibat pandemik ini. Ramai daripada mereka terkesan teruk sehinggakan ada yang gulung tikar kerana tidak mampu menampung kerugian lagi.
Sama-sama kita terus berdoa agar wabak pandemik ini berakhir segera.
Sumber: (1)