Setelah persediaan yang memakan masa berbulan lamanya, akhirnya pereka fesyen Hatta Dolmat boleh menarik nafas lega pada hari ini.
Pada acara anjuran organisasi Miss Universe Malaysia pada hari ini, Hatta, 39 telah diumumkan sebagai pereka fesyen terpilih bagi mempersiapkan kostum kebangsaan dan busana gaun untuk Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam yang bakal bertanding tidak lama lagi.
Ini merupakan kali pertama Hatta terlibat dalam dunia ratu cantik dan platform apa lagi yang lebih eksklusif melainkan pentas Miss Universe.
Sewaktu ditemui oleh REMAJA pada acara berkenaan, Hatta menjelaskan serba sedikit mengenai inspirasi di sebalik rekaan kostum kebangsaan yang dinanti-nantikan oleh ramai pihak ini.
“Pada peringkat awal, saya telah siapkan beberapa lakaran dengan mengambil idea wayang kulit, wau bulan, burung Kenyalang, rama-rama, Raja Brookes (dari Sarawak). Akhirnya apabila difikirkan semula, kita sebenarnya mempunyai satu mercu tanda semulajadi yang cantik iaitu Gunung Kinabalu di Sabah.”
“Sebagai salah satu daripada puncak tertinggi di dunia, saya rasakan pertandingan Miss Universe adalah momen terbaik untuk memperkenalkannya kepada masyarakat dunia. Lagipun, saya baru sahaja balik dari Sabah dan terus terinspirasi dengannya.
“Tapi, saya tidaklah nak bawa batu ke apa ke atas pentas. Gunung Kinabalu itu hanyalah simbolik kepada elemen dan penceritaan yang ada pada kostum tersebut.
“Antaranya seperti mesej kemampanan (sustainability), kitar semula (recycle), guna semula (upcycle) dan matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals atau SDG). Kita nak bawa mesej-mesej ini ke peringkat universe supaya mereka tahu kita adalah komuniti yang cintakan alam semulajadi.
Dalam dunia fesyen di Malaysia, sememangnya Hatta Dolmat merupakan di antara pelopor gerakan fesyen lestari.
Pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 Ogos lalu, Hatta telah memperkenalkan penggunaan fabrik yang diperbuat daripada botol plastik kitar semula demi menyahut inisiatif Program Alam Sekitar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Badan Penyelaras di Laut Asia Timur (COBSEA) dalam menyelesaikan isu pencemaran plastik.
Bagi kostum kebangsaan ini, Hatta secara kreatif telah menggunakan bahan seperti plastik terbuang, kayu terbuang dan fabrik lama dari Kloth yang pernah digunakannnya bagi koleksi Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
Berkenaan kerjasamanya dengan Lesley Cheam, Hatta menggambarkan gelaran yang dibawa oleh Lesley itu begitu dekat dengan idea memperkenalkan Gunung Kinabalu di mata dunia. Baginya, puncak gunung setinggi 4,095m dari paras laut itu selari dengan Lesley yang berada pada kedudukan tertinggi sebagai seorang wanita setelah dinobatkan Miss Universe Malaysia 2022.
“Kita cuba cari apa yang tertinggi di Malaysia. Bila dia (Lesley) pakai, dialah yang tertinggi di Malaysia. Kita juga cuba untuk lari daripada kostum-kostum yang pernah dicipta untuk wakil negara terdahulu. Selain makanan dan unsur kebudayaan, kita terlupa yang Malaysia juga mempunyai landmark secantik Gunung Kinabalu,” jelasnya.
“Bila bercakap tentang harapan, mestilah semua orang berharap Malaysia akan membawa pulang kejuaraan dan mahkota Miss Universe itu. Tapi saya cuma berharap Lesley untuk menjadi diri sendiri dan melakukan yang terbaik di New Orleans kelak.
“Tentang kategori Kostum Kebangsaan terbaik pula, saya tidak pernah pun terfikir untuk menang memandangkan ini adalah perlibatan pertama saya bagi persediaan pertandingan ratu cantik. Bila saya langkah keluar dari butik pagi tadi, saya sudah tetapkan mindset untuk menerima apa saja pandangan orang ramai,” ujar Hatta.
Tambahnya lagi kepada REMAJA, beberapa sentuhan akhir bakal dilakukannya pada kostum nasional dan gaun Lesley Cheam sebelum dia ‘terbang’ ke Amerika Syarikat tak lama lagi. Sama-sama kita nantikan sentuhan tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.