“Punyai Peminat Setia Satu Anugerah Yang Tak Ternilai” -27 Tahun Siti Nurhaliza Di Persada Seni, Mahu Jejak Royal Albert Hall Sekali Lagi

Share

Pada tanggal 1 April yang lalu genaplah 27 tahun penyanyi tersohor tanah air ini berlayar di persada seni tempatan. Bermula tahun 1996 demi membantu keluarganya, tidak sangka penat lelah sebagai penyanyi berbayar jua.

Pastinya bukan mudah untuk seorang penyanyi untuk kekal relevan dalam industri, apatah lagi dikenali ramai hampir tiga dekad. Ya, tentu pelbagai onak dan duri sudah ‘direntasi’ figura ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Moga Lebih Banyak Memori Indah Dapat Dicipta” Dedikasi Terindah Siti Nurhaliza Sempena Ulang Tahun Kelahirannya Ke-44

Datuk Seri Siti Nurhaliza, sepotong nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Menggalas gelaran penyanyi nombor satu, bintang ini sememangnya tidak pernah mengenali apa itu erti putus asa sepanjang kariernya.

Ketika Remaja berkesempatan ‘berbicara’ bersama anak watan kelahiran Temerloh Pahang ini, beliau menitipkan rasa kesyukuran apabila dirinya masih relevan dan sudah tentunya dapat menghiburkan lagi halwa telinga setiap pencinta lagu-lagunya.

“Saya bersyukur sangat berterima kasih di atas sokongan peminat yang mengikuti perjalanan seni saya selama 27 tahun. Ada yang meminati saya dari zaman sekolah dan kini sudah berkeluarga, ada juga peminat-peminat baharu.

“Bagi saya, perjalanan seni saya bukan hanya bersandarkan kepada diri atau nama saya tetapi lebih kepada karya yang kita persembahkan. Alhamdulillah, saya masih dapat menghasilkan lagu-lagu baru serta muncul dalam persembahan pentas, walaupun saya juga sedang mengembangkan cabang perniagaan.

“Seni adalah kerjaya awal saya dan sehingga ke hari ini saya tetap membuat pelbagai perancangan utk karier seni saya ini,” tuturnya ketika dihubungi Remaja.

Genap 27 tahun juga, Siti Nurhaliza atau lebih disapa Tokti ini turut berkesempatan menzahirkan penghargaan buat para peminatnya terutama Sitizoners, yang tidak pernah lekang menyokong dan menyanyanyinya sejak awal kemuncilam sehingga ke hari ini.

“Apabila ada orang yang minat dan sayangkan bakat kita, saya memang sangat berterima kasih kerana mereka inilah yang menjadi kekuatan saya.

“Sebagai artis, mempunyai peminat setia adalah satu anugerah yang tidak ternilai, peminat sudah menjadi keluarga besar saya. Apa saja yang saya ingin lakukan, saya akan memikirkan para peminat saya,” ujarnya lagi.

‘Saya teringin ke Royal Albert Hall sekali lagi…’

Memiliki peminat yang datangnya dari pelbagai negara adalah bagaikan sebuah ‘hadiah’ buat seorang yang bergelar penghibur. Pernah menggegarkan seni hiburan tanah air apabila penyanyi lagu popular Wajah Kekasih itu berjaya menghimpunkan puluhan ribu para peminatnya pada konsert yang pernah dilakukan sebelum ini. Ternyata ia adalah suatu momen terindah yang tidak boleh dijual beli.

Setiap insan pastinya ada impian yang ingim dicapai walau sekali seumur hidup. Bagi ibu kepada dua cahaya mata ini, beliau menitipkan hasrat untuk menjejakkan kaki semula di bumi London iaitu ke Royal Albert Hall sekali lagi.

Selain itu, bintang berusia 44 tahun ini turut berhasrat untuk mengadakan konsert berskala besar yang boleh menghimpunkan ramai peminatnya seperti tahun 2004 di Konsert Fantasia Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya melalui banyak fasa dalam industri muzik, dari tahun 90-an hingga 2023. Banyak yang berubah dan saya tidak mahu ketinggalan untuk sentiasa mencari pembaharuan dan kelihatan segar dalam karya dan persembahan yang dipersembahkan.

“Saya teringin ke Royal Albert Hall sekali lagi, selain ingin tampil dengan konsert besar yang boleh menghimpunkan ramai peminat seperti tahun 2004 di Konsert Fantasia Tour saya di Stadium Nasional Bukit Jalil. Semua ini mempunyai dana tajaan yang besar untuk dilaksanakan,” kongsinya.

Dalam pada itu, sempat juga Remaja bertanyakan perancangannya untuk mengadakan konsert sementelah menerima banyak ‘demand’ daripada para pencintanya yang berada di luar sana.

“Ya, sudah ada dalam senarai perancangan dan akan dimumkan bila tiba masanya. Buat masa ini saya tumpukan kepada Konsert Satu Suara Vol.3 di mana saya berganding dengan Ernie Zakri dan Jay Jay. Konsert ini di anjurkan pada 13 Mei 2023, di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Tiket boleh dibeli di www.myticket.asia

,” kongsinya lagi.

‘Perlu pandai bawa diri, kerjaya diuruskan dengan baik & jangan mudah putus ada’

Bukan hanya berjaya dalam industri muzik tanah air, pelantun lagu Jerat Percintaan ini juga mengecapi kejayaan dalam bidang perniagaan.

Sebagai bintang legenda, Siti Nurhaliza menitipkan nasihat dan pesanan buat bakat baharu di luar sana yang mahu ada kelas tersendiri dan kekal relevan sebagai anak seni.

“Walaupun sudah agak lama di dalam industri muzik, saya sentiasa berusaha memperbaiki, mencari formula baru, mengikuti perkembangan semasa dan harus bekerja keras untuk menempa nama.

“Saya yakin adik-adik saya di luar sana juga mempunyai bakat luar biasa, perlu pandai menjaga dan membawa diri, kerjaya diuruskan dengan baik dan jangan mudah putus ada,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Siti Nurhaliza

Published by
Fath