Viral di media sosial tentang penggunaan ‘health tag’ yang mengandungi bahan kimia Chlorine Dioxide dan dikatakan mampu menghapuskan virus dan bakteria dalam radius 1 meter daripada si pemakainya. Ia juga dikatakan mampu bertahan selama 45 hari.
Namun begitu, keberkesanan produk ini telah pun mendapat penafian daripada Pusat Racun Negara yang mengesahkan bahawa satu kajian khusus tentang keberkesanan produk seumpama itu telah dijalankan dan diterbitkan melalui artikel Hidekazu NISHIMURA, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide. Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226. July 2017.
Hasil daripada kajian tersebut mendapati bahawa:
1. Tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang berlaku
2. Gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung
Kajian ini juga jelas menunjukkan pemakaian ‘health tag’ adalah TIDAK BERKESAN untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada apatah lagi COVID-19.
Chlorine Dioxide merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah. Lebih membimbangkan lagi, kepercayaan terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan.
Akibatnya, masyarakat akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial.
Oleh itu, korang jangan percaya jika terlihat mana-mana penjual yang menjual produk ini secara online atau pun di kedai-kedai kerana ia sama sekali tidak membantu menjauhkan korang daripada virus COVID-19.
Sampaikan berita ini kepada keluarga dan insan tersayang agar mereka lebih peka dan tidak terpedaya.
Stay home and stay safe!
Sumber: Pusat Racun Negara