Buat julung kalinya, salah seorang daripada dua peserta lelaki program realiti nyanyian The Hardest Singing Show telahpun menyambar kejuaraan mingguan pada konsert suku akhir, malam tadi.
Putera Muhammad tampil dengan persembahan impresif ketika membawakan lagu Hilang Naluri dengan elemen api bagi menyelesaikan cabaran minggu ini bertemakan Estetika Alam. Sekaligus, Putera berjaya mengutip markah tertinggi sebanyak 93.20 peratus dan membawa pulang Anugerah The Hardest of the Night.
Lebih manis lagi, Putera juga telah menerima skor tertinggi daripada salah seorang juri tetap program, Dato’ Seri Rossa atau lebih mesra dengan panggilan Teh Ocha seperti yang diumumkan oleh juri berkenaan sewaktu sesi penjurian.
Bercakap kepada REMAJA di belakang pentas, Putera berpendapat rezeki tersebut hadir secara mengejut pada minggu kelapan pertandingan memandangkan kejuaraan seringkali diperolehi oleh peserta-peserta wanita.
“Graf saya dalam program ini macam roller coaster, naik turun (ketawa). Alhamdulillah minggu dapat juga saya merasa menjadi juara mingguan. Sewaktu persembahan tadi pun, saya lihat juri-juri berikan standing ovation. Itu yang penting sebenarnya iaitu apabila penonton puas dan apa yang kita hendak sampaikan itu tercapai. Kedudukan pertama itu bonus,” katanya yang membawakan lagu Hilang Naluri nyanyian Once.
ARTIKEL BERKAITAN: Pertama Kali Aisha Retno Di ‘Bottom 2’ Dalam Mana-Mana Pertandingan, Paling Takut Kecewakan Ibu Sendiri – REMAJA
Sewaktu Putera menerima tugasan elemen api, idea asalnya adalah bagi menimbulkan kegerunan penonton dengan cara membakar yang ekstrem termasuklah idea untuk membakar tubuhnya sendiri. Namun hasrat Putera itu ‘lebih terkawal’ malam tadi setelah menerima nasihat pihak produksi dan pasukannya sendiri.
“Kau ni muka nak pakai lama, kaki nak pakai lama, badan nak pakai lama… Jadi jangan habiskan segala-galanya pada minggu ini…”
“Ya, idea asalnya termasuklah untuk membakar satu badan dan pijak api agar merecik. Itu belum lagi bermain dengan efek api pada badan. Tetapi apa yang berlaku malam ini adalah idea-idea yang telah diluluskan oleh produksi,” katanya.
Kongsi Putera lagi, sesi raptai bersama nyalaan api pada lengannya hanya boleh dimulakan pada hari Sabtu. Biarpun sedikit cemas ketika melakukannya, dengan bantuan pihak bertanggungjawab, Putera kekal tenang ketika cuba memadamkan api menggunakan sapu tangan khas serta air yang telahpun disediakan di atas pentas.
Konsert The Hardest Singing Show minggu suku akhir malam tadi diungguli oleh Putera Muhammad (93.20 peratus) yang membawakan lagu Hilang Naluri nyanyian Once diikuti Ayda Jebat (85.69 peratus), Aepul Roza (81.48 peratus), Stacy (77.30 peratus), Zizi Kirana (67.33 peratus) dan Aisha Retno (63.78 peratus).
Terdahulu, Putera Muhammad pernah menyertai sebuah lagi program realiti nyanyian terbitan Astro iaitu Big Stage 2023 dan menduduki tangga ketiga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.