Sukar untuk dipercayai apabila menerima perkhabaran yang dimaklumkan menerusi laman media sosial Cosry bahawa pemilik dan juga pereka fesyen jenama tersebut, Putra Aziz telah meninggal dunia pada Khamis, 30 Disember 2021, jam 8.30 malam.
Menjengah ke laman Instagramnya, ramai yang mula menyampaikan ucapan takziah.
Memetik informasi yang dimuat naik di laman Facebook Cosry Official, “Dengan penuh dukacita, kami ingin mengumumkan pemergian Putra Aziz dari Cosry jam 8.30pm sebentar tadi. Al-fatihah.” Dalam laporan Awani, menurut sumber yang rapat dengannya, kesihatan Allahyarham mula merosot sejak dua minggu lalu.
Allahyarham merupakan anak kelahiran Acheh yang memulakan perniagaan fesyen bersama rakan kongsinya, Ariff Quasry pada tahun 2004. Ketika itu mereka memulakannya dengan memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah sebelum permulaan membuka sebuah butik kecil yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor sehinggalah berpindah Bangsar dan Kuala Lumpur yang kemudiannya berkembang pesat sebagai satu jenama pilihan ramai termasuklah golongan VIP dan selebriti terkenal.
PERIBADI MURNI
Sepanjang kariernya di dalam dunia fesyen, antara yang dekat dengan personaliti ini semestinya wartawan yang banyak memberikan liputan dan tidak kurang ‘meminjam’ busananya untuk digayakan oleh selebriti atau model yang ditampilkan di dalam akhbar atau majalah
Penulis juga salah seorang dari mereka. Mengenali Allahyarham ketika mula-mula bergelar wartawan untuk sebuah majalah berkonsepkan kewanitaan kira-kira 11 tahun lalu, peribadinya cukup menyenangkan.
Biarpun sudah mencipta nama dan dikenali ramai, dia tidak pernah meninggi diri biarpun berhadapan dengan wartawan yang baharu sahaja bertapak di dalam dunia kewartawanan. Begitulah dia dari tahun ke tahun, tetap abang Putra (panggilan penulis kepada Allahyarham) yang dikenali dari hari pertama kami bertemu.
PILIHAN POPULAR
Ramai selebriti dan personaliti popular memilih Allahyarham bagi mencipta busana buat mereka. Sekadar menyebut beberapa nama antara selebriti yang menyarungkan busannya seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Izara Aishah dan juga Elfira Loy.
Allahyarham terkenal dalam menghasilkan busana perkahwinan yang cukup indah dan eksklusif. Siapa sahaja yang boleh melupakan gaun kahwin inspirasi Mariposa yang digayakan Anzalna Nasir pada majlis resepsinya. Bukan sahaja media tempatan, bahkan gaun tersebut menjadi tumpuan media antarabangsa.
BACA JUGA: Boleh Berangan Sis! Lihat 6 Rekaan Baju Sanding Rekaan Cosry Yang Jadi Sebutan
Selebriti popular Indonesia, Bunga Citra Lestari juga menggayakan busana kebaya rekaan Allahyarham saat majlis perkahwinannya. Terbaharu, personaliti popular yang kini menetap di London, Dr Amalina Che Bakri turut memilih untuk mengenakan persalinan kurung nikah rekaan Allahyarham untuk majlis perkahwinannya yang diadakan di sana, April lalu.
Satu momen membanggakan bagi minda kreatif di sebalik jenama Cosry ini pastinya saat jenama itu dipilih untuk menghasilkan dan mreka busana buat atlet kebangsaan ketika majlis pembukaan Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Busana yang direka berasaskan rona Jalur Gemilang itu mendapat pujian ramai.
BACA JUGA: Dr. Amalina Che Bakri Selamat Bernikah Dengan Jejaka Inggeris
Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pastinya nama Putra Aziz akan terpahat dalam kenangan mereka yang pernah berurusan dengannya.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Cosry Official, Putra Aziz, Harian Metro