Suaranya gadis berhijab ini menggegar bumi Amerika Syarikat…
Ariani Nisma Putri atau lebih dikenali dengan nama Putri Ariani mungkin asing bagi peminat dunia muzik Malaysia, namun begitu kelibat gadis berusia 17 tahun ini antara yang dikenali di Indonesia.
Masakan tidak, dia pernah bergelar juara Indonesia Got Talent ketika berusia 9 tahun! Kini namanya kembali menjadi sorotan bukan sahaja di Indonesia bahkan seluruh dunia dek kebijaksanaannya dalam mencipta lagu dan kelunakan suara yang dimiliki.
Dia yang menyertai pertandingan America’s Got Talent 2023 telah berjaya menawan hati juri yang terdiri daripada Simon Cowell, Heidi Klum, Sofia Vergara dan Howie Mendell.
Tampil manis dalam balutan hijab berona putih, Putri pada mulanya menyanyi satu lagu ciptaannya sendiri dan menerima tepukan gemuruh daripada para juri dan seluruh penonton yang berada di studio.
Namun begitu, Simon Cowell tiba-tiba bangun dan naik ke pentas menghampiri Putri untuk meminta dia menyanyikan sebuah lagi lagu.
Sofia Vergara yang kelihatan bingung dengan situasi tersebut bertanya, “Apa yang kamu mahu? Kenapa suruh dia menyanyi sebuah lagu lagi, kamu tidak sukakan lagu tadi?” Jawab Simon, “Saya sangat sukakan suaranya, saya mahu dia menyanyi lagu kedua.”
Menerima cabaran tersebut, Putri memilih unttuk menyanyikan lagu Sorry Seems To Be The Hardest Words yang dipopularkan oleh Sir Elton John dengan rendisinya sendiri. Dia ternyata memukau seluruh dewan lantas menerima Golden Buzzer daripada Simon Cowell.
Untuk pengetahuan pembaca, Golden Buzzer hanya diberikan kepada lima peserta sahaja dan ini bermakna Putri Ariani akan terus mara ke peringkat suku akhir tanpa perlu melalui pertandingan untuk bersaing dengan peserta lain.
Sedikit latar mengenai Putri Ariani, dia dilahirkan dengan kekurangan upaya untuk melihat namun dia mampu bermain piano dengan baik. Salah satu impian terbesarnya adalah untuk menjadi salah seorang pelajar di sekolah muzik berprestij, The Juilliard School yang terletak di New York, Amerika Syarikat.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.