Qatar Airways Beri 100,000 Tiket Penerbangan Percuma Untuk Frontliners Sebagai Tanda Terima Kasih

Share

Sejak beberapa bulan yang lepas, petugas barisan hadapan negara merupakan antara individu penting kepada masyarakat dalam menangani situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Sudah tentu tidak ada apa yang boleh diberikan oleh kita kepada mereka yang bertungkus-lumus siang dan malam, sehinggakan ada yang terpaksa meninggalkan keluarga untuk pergi bertugas adalah satu pengorbanan besar yang perlu dihargai.

Ramai individu mahu pun badan-badan kebajikan mengambil inisiatif dalam memberikan bantuan kepada petugas frontliners di hospital.

Tidak hanya itu, syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways juga menunjukkan rasa penghargaan mereka dengan menawarkan 100,000 tiket percuma kepada profesional penjagaan kesihatan di seluruh dunia sebagai tanda terima kasih dalam pengorbanan mereka membantu merawat pesakit COVID-19.

Menurut satu kenyataan daripada agensi berita Anadolu, profesional penjagaan kesihatan di setiap negara dunia layak mendapat tiket percuma.

Tawaran akan dibuka pada 12 hingga 18 Mei dan pendaftaran boleh dibuat di laman web qatarairways.com/ThankYouHeroes

Mereka yang berjaya akan menerima kod promosi untuk menempah sehingga dua tiket pergi balik kelas ekonomi secara percuma untuk penerbangan yang dikendalikan Qatar Airways ke mana sahaja di rangakain global syarikat penerbangan tersebut.

Qatar Airways akan kembali membuka semula operasi tidak lama lagi selepas ditangguhkan sementara kerana wabak COVID-19.

Inilah yang dinamakan rezeki. Walaupun mungkin tidak dapat membayar segala penat-lelah dan usaha mereka, namun setidak-tidaknya ada juga pihak yang begitu prihatin dan menghargai setiap pengorbanan petugas barisan hadapan.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Noor Ain Norman