Bagi peminat filem seram Munafik, tentu korang perasan satu ayat ini dibaca oleh Syamsul Yusof yang ketika itu sedang “berlawan” dengan jin peliharaan Pak Osman lakonan Razif Salimin yang dikatakan bersekongkol dengan syaitan demi mencari kekayaan duniawi.
Saat Syamsul menyebut “Laa Haula wa Laa Quwwata illa Billaah (membawa maksud tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata), terus Pak Osman disambar petir.
Di sebalik kisah-kisah seram yang selalu kita ikuti, mana-mana individu yang pernah bertemu pontianak, langsuir, pocong, hantu kubur, penanggal dan lain-lain jenis makhluk halus, kita sering diajar agar dibacakan ayat Qursi bagi menghalau jin berkenaan dari mengganggu diri kita.
Kalau boleh bacakan juga 3 kul iaitu mewakili Surah Al Ikhlas, surat al Falaq dan surah an Naas selain ibu al-Quran itu Surah Al-Fatihah.
Apa rahsia di sebalik semua surah-surah ini dan apa fungsinya di alam ghaib?
REMAJA menemuramah seorang pengamal perubatan yang enggan dikenali dan sudah lebih 20 tahun terlibat dalam dunia ghaib malah sering keluar masuk ke alam bunian.
Katanya, dunia manusia dan alam ghaib amat berbeza waktunya.
“Siang bagi manusia tetapi di alam ghaib adalah malam. Namun pertukaran dari senja membawa ke malam adalah waktu permulaan hari bagi alam ghaib. Sebab itulah kita tidak digalakkan keluar di waktu senja kerana ketika ini banyak makhluk halus mulai keluar,” katanya memulakan bicara.
Malah manusia-manusia yang terserempak dengan makhluk halus ini juga bukanlah bernasib malang atau mahu diuji kekuatannya.
“Biasanya bila terserempak, ia adalah tanpa sengaja. Misalnya orang yang suka keluar waktu Maghrib. Ada juga yang memang dituju dan biasanya merujuk kepada ilmu sihir. Dan satu lagi biasanya golongan yang suka bercakap besar @ angkuh, seolah-olah mencabar kewujudan makhluk halus ini (biasanya dalam hutan, tempat sunyi dan sebagainya)
Jelasnya lagi, sama seperti manusia diciptakan dari keturunan Nabi Adam, jin juga dijadikan Allah namun taraf manusia itu lebih mulia kerana manusia adalah khalifah.
“Di alam ghaib, ada jin Islam dan kafir. Biasanya yang selalu mengacau manusia ini ialah jin-jin kafir. Satu kejadian manusia bersamaan 9 kejadian jin. Jadi jumlah-jumlah jin ini sangat banyak. Mereka hidup berkelompok, ada negara, pemerintah, panglima dan golongan bawahan.
Kenapa kita jadi takut saat berhadapan dengan makhluk halus? Ini kerana syaitan memang telah berjanji untuk terus menyesatkan manusia sehingga ke akhir zaman dan janjinya memang tidak pernah terlepas.
Apa harus dibaca jika bertemu makhluk-makhluk halus ini seperti pontianak.
Langsuir, penanggal dan lain-lain?Lari? Sama sekali tidak. Menurutnya, al-Quran yang diturunkan sejak 1400 tahun dahulu adalah sebuah kalam Allah yang harus dibaca, faham dan diamalkan.
“Sebab itulah setiap ayat-ayat al-Quran ini mengandungi rahsia yang harus diamalkan tanpa ragu,’ katanya lagi.
Apa ayat nak baca kalau terjumpa makhluk halus dan apa fungsi ayat-ayat ini bila dibaca? Dalam erti lain katanya, apa jadi pada jin syaitan ini saat kita membacanya!
Kalau korang terjumpa atau terserempak, sebelum gigil terlebih, pekiklah perkataan ALLAHU AKBAR berulang-ulang kali kerana hantu syaitan sangat takut mendengar perkataan ini.
Maksud Allah Maha Besar ini kalau dibaca berulang kali, umpama bola api kecil yang memanah syaitan-syaitan ini. Ayat ini mampu mencederakan syaitan dan dia akan lepaskan korang sebab tubuhnya mula tercedera.
Tambah pengamal perubatan ini lagi, kalau sempat azan, azanlah berulang kali. Nahu sebutan Arab ini mesti tepat dan jangan tersilap saat mengalunnya kerana maksud itu boleh lari. Laungan azan ini di alam ghaib membawa makna bola api dan panah berapi yang bertalu-talu menuju ke tubuhnya.
Jelasnya lagi, SURAH AL-FATIHAH pula berfungsi seperti kita menembak menggunakan pistol. Terus dan direct dan pasti mati.
“Ayat QURSI pula membawa makna seperti PANAH BERAPI yang bertalu-talu.
“Sementara SURAH AN-NAAS pula kalau dibacakan umpama BEBOLA API & BOM TANGAN
. Jika kita baca ini bertalu-talu, syaitan tidak boleh bangun.“Bagi SURAH 3 KUL iaitu Al IKHLAS, AL-FALAQ dan AN NAAS kalau dibaca tanpa putus, ia umpama mengikat syaitan di dalam pasir jerlus. Namun syarat untuk membaca surah pendek ini ialah ibu jari kaki mesti ditekankan ke bumi dan kita berniat mengikat syaitan-syaitan ini. Jika ketiga-tiga surah ini dibacakan serentak, syaitan akan terpasung di dalam tanah.
“Akhir sekali, kalau terserempak juga, kita boleh baca ayat kulhuallahu ahad sehingga habis dan surah ini umpama sebiji batu besar yang akan menghimpit tubuh syaitan-syaitan ini.
Jelasnya yang amat merendah diri, semua ilmu-ilmu diperolehnya ini adalah hak milik Allah dan ia hanya setitis air di lautan dalam.
“Saya sekadar berkongsi kerana manusia itu lebih tinggi darjatnya dan kita tidak perlu takut dengan makhluk halus yang selama ini menjadi igauan ngeri dan rasa takut keterlaluan pada manusia saat bertemu hantu syaitan ini,” katanya lagi.