Bukan calang-calang atlet boleh meraih sembilan pingat emas, namun perkara itu tidak mustahil apabila dibuktikan oleh Muhammad Fakhrullah bin Mohd Rumaize yang merupakan atlet kanu mewakili negeri Johor Darul Takzim.
Selain mendapat sembilan pingat emas, remaja berusia 21 tahun ini turut mencipta sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod kebangsaan yang baharu.
Pingat emas yang diraih oleh Fakhrullah adalah menerusi acara K2 500m (rekod kebangsaan), K2 1,000m (rekod kebangsaan), K1 200m, K2 200m, TBR 1,000m, TBR 500m, TBR 500m campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.
Ulasnya kepada pihak media mengenai pencapaian cemerlang yang diperolehinya, “Selama saya berlatih memang tak ada terfikir untuk dapat anugerah ini. Saya hanya fokus untuk berikan yang terbaik saja dan inilah hasil usaha saya selama tujuh ke lapan tahun. Alhamdulillah saya berjaya dapatkan sembilan pingat emas untuk Johor.”
Mendedahkan rahsia kecemerlangannya selain giat berlatih sekian lama, Fakhrullah berkongsi bahawa dia dan rakan sepasukan dilatih di luar negara. “Saya berlatih dengan jurulatih profesional yang merupakan juara dunia dari Hungary.”
Pada majlis penyampaian anugerah Olahragawan SUKMA 2022, Fakhrullah telah menerima piala daripada jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Selain bergelar seorang atlet Fakhrullah juga merupakan seorang pelajar di Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.